Rabu, 6 November 2013

sistem ejaan jawi za'ba


Zainal Abidin bin Ahmad
Zainal Abidin bin Ahmad

CIRI-CIRI SISTEM EJAAN JAWI ZA'BA:
Sebelum dibuat kesimpulan tentang peranan Za'ba dalam pembaharuan sistem ejaan Jawi, elok kita tinjau sepintas lalu tentang Daftar Ejaan Melayu itu sendiri. Di antara lain:

(a) Usahanya itu bermula dalam tahun 1918 lagi bila beliau mengumpulkan perkataan-perkataan Melayu dalam tulisan Jawi sahaja;
(b) Sumber perkataan-perkataan itu ialah daftar ejaan Rumi Kerajaan Negeri Persekutuan yang dikeluarkan oleh sebuah jawatankuasa dalam tahun 1904. Dalam menyusunnya semula menurut abjad Jawi, beliau menambah beberapa banyak perkataan pula.
(c) Sejak itu beberapa kali lagi penyemakan semula dilakukannya.
(d) Dalam tahun 1925, senarai perkataan itu disemak pula oleh guru-guru "Kolej Tanjung Malim" bergilir-gilir, dan ditambah lagi oleh mereka beberapa perkataan lagi. Pada waktu itu, saya percaya, beliau juga mendapat bantuan daripada pelajar-pelajar Maktab. 
(e) "Setelah itu," menggunakan kata-katanya sendiri; "terbenamlah lagi Daftar ini beberapa lama kerana menantikan peluang hendak memulakan kerja menjadikan dia kamus betul-betul itu tidak juga dapat-dapatnya". 
(f) Dalam tahun 1933 hingga 1935, beliau mengubah rancangan asalnya dengan mengemukakan hanya sebuah daftar ejaan, dan bukannya kamus, yang susunannya ialah menurut susunan abjad Jawi, dan pada setiap perkataan dalam ejaan Jawi itu diberi pula persamaan ejaan Ruminya.
(g) Walau bagaimanapun, beliau menaruh harapan untuk kemudian kelak menjadikannya sebuah kamus dengan tiap-tiap perkataan itu diberi tidak sahaja makna tetapi juga contoh ayat memakainya dan simpulan-simpulan bahasa yang terbit
daripadanya, "sebagai membanyak dan menambah elokkan kamus-kamus kita yang sedia ada". 

Demikianlah sekadarnnya latar penyediaan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) itu yang siap dalam tahun 1938, iaitu setelah melalui tempoh dua puluh tahun lamanya. Malangnya lagi, hanya kira-kira sepuluh tahun sesudah itu pula baru Daftar itu diterbitkan, iaitu dalam tahun 1949 - selepas 31 tahun projek itu dimulakannya dalam tahun 1918.

Di dalam buku itu terdapat dua buah bab selepas "Pendahuluan". Bab-bab itu ialah "Pengenalan 'Am" (11 halaman) dan "Kaedah-kaedah Ejaan Jawi" (39 halaman). Kedua-dua bab ini jauh lebih penting daripada daftar ejaan itu sendiri. Daftar itu mensenaraikan perkataan menurut abjad, sedang kedua-dua bab yang dirujukkan tadi memberi huraian tentang rasionel, modus operandi, prinsip-prinsip dan rumusan-rumusan kaedah ejaan Jawi. Demikianlah, jika tidak kerana dua bab itu, tidaklah akan jelas kepada kita bagaimana dan sejauh mana Za'ba memainkan peranannya dalam merumuskan sistem ejaan Jawinya itu.

contoh huruf jawi
contoh huruf jawi

 MENGAPAKAH ZA'BA MEMBERI KEUTAMAAN KEPADA SISTEM EJAAN JAWI?
Za'ba mengusahakan sebuah sistem ejaan Jawi kerana, seperti yang dinyatakannya dalam bab "Pengenalan":
"... tulisan Jawi itulah yang terlebih berkehendak diaturkan ejaannya dan disusunkan dia mengikut tertib hurufnya, kerana ejaannya banyak yang masih simpang perenang. Tambahan pula tulisan Jawi itu lebih disukai oleh orang Melayu raya tua dan muda di Semenanjug ini". 
Beliau tidak memberikan keutamaan yang sama kepada penggubalan sistem ejaan Rumi mungkin kerana ejaan Rumi itu sudah pun diselaraskan oleh Jawatankuasa bagi Merumikan Tulisan Melayu dalam 1904 bagi kegunaan Kerajaan Negeri Persekutuan. Oleh yang demikian dan oleh kerana sifat yang berkacau dalam ejaan Jawi, maka menyelaraskan ejaan Jawi itulah yang menjadi satu keutamaan yang tinggi kepada Za'ba. Walau bagaimanapun, sistem ejaan Rumi itu dilampirkannya dalam Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi). Agak menarik bahawa sistem ejaan Rumi itu pun mengandungi jumlah yang sama (empat puluh) dengan jumlah undang-undang dalam sistem ejaan Jawi.

SISTEM EJAAN JAWI ZA'BA:
Za'ba merasa perlu untuk menggubal sistem ejaan Jawi yang baru kerana beberapa sebab:
Pertama, adanya semacam keberkacauan dalam ejaan Jawi. Seperti yang dinyatakan oleh beliau bahawa walaupun kaedah yang dicuba ikutinya ialah "menurut kecenderungan ahli-ahli sekolah semenjak 40 tahun yang lalu serta kecenderungan penulis-penulis Melayu yang lebih ramai" tetapi beliau juga mengatakan bahawa yang dikatakan "kebiasaan penulis-penulis yang ramai" itu pun "ada banyak tentangnya yang berlain-lain pada lain-lain orang".
Kedua, ada usaha hendak menghidupkan semula "ejaan lama yang telah atau beransur mati" oleh Wilkinson dan Winstedt serta setengah-setengah penolong Melayunya. Bila ini dicuba lakukan maka
"telah menjadi gempar dan hebuh sungutan di antara penulis-penulis Melayu apabila terjadi kacau bilau pada ejaan Melayu dalam tahun 1916-19 tatkala Daeng Abdul Hamid kerani Melayu Sir Richard Winstedt masa itu mencuba hendak memandai-mandai memakai setengah daripada ejaan cara lama yang telah ketinggalan itu dalam buku-buku bacaan di sekolah-sekolah Melayu".
Ketiga, terdapat ketidak-sepakatan di antara kamus-kamus karangan orang Melayu, terutamanya, sehubungan dengan penggunaan huruf qauf,kaf, hamzah,ta dan ta bulat dihujung kalimah dan beberapa huruf lagi.
Dalam sistem ejaannya itu, Za'ba mengemukakan 20 "undang-undang", atau hukum, bagi ejaan Jawi untuk kata-kata dasar,  dan 20 "undang-undang" pula bagi kata-kata yang berimbuhan.

Haji Hamdan Haji Abdul Rahman , meneliti 40 "undang-undang" itu, membuat kesimpulan bahawa Za'ba merumuskan sistem ejaan Jawinya itu berasaskan kepada tiga prinsip, iaitu: Ekonomi ejaan yang menggunakan seberapa sedikit bilangan huruf; Kepastian- jika ejaan itu menimbulkan kesamaran sebutan maka diubahsuai ejaannya supaya mengurangkan kesamaran itu; dan Jamaah atau Konvensyen  digunakan kedua-dua ejaan yang berbeda bagi satu-satu perkataan jika kedua-duanya dipakai ramai dan tiap-tiap satunya tidak pula menimbulkan kesamaran sebutan.
Yang dikatakan prinsip ekonomi huruf itu ialah ejaan yang pada asalnya menggunakan "Kaedah Baris" dan terus terpakai serta tidak pula menimbulkan kesukaran sebutan, seperti ejaan Jawi untuk perkataan 'pada', 'kepada', 'daripada', dll. Yang dimaksudkan dengan prinsip kepastian ialah jika sesuatu ejaan yang menggunakan "Kaedah Baris" itu mengelirukan kerana boleh disalah-bunyikan, maka, di mana mungkin, ia diberikan huruf saksi supaya lebih jelas bunyinya. Yang dimaksudkan dengan prinsip konvensyen pula ialah pendirian Za'ba untuk menerima ejaan yang dipakai ramai penulis, walaupun tidak selaras dengan sistem. Pendirian itu dinyatakan oleh Za'ba seperti berikut: "Mana ejaan yang lebih ramai orang menulisnya itulah yang lebih betul; yang kurang ramai itu betul juga tetapi kurang ..." 

Tahap perkembangan ejaan Jawi.
Tahap pertama: Ejaan Jawi yang menggunakan tanda-tanda baris dan syaddah;
Tahap kedua: Ejaan Jawi itu mengekalkan ejaan pada tahap pertama tetapi menanggalkan penggunaan tanda;
Tahap ketiga: Ejaan Jawi cara Melayu yang menggunakan huruf saksi pada suku kata pertama;
Tahap keempat: Pengenalan huruf saksi pada suku kata kedua pula bila terdapat ejaan yang hanya menggunakan huruf saksi pada suku kata pertama itu mengelirukan kerana ejaan yang sama boleh mewakili dua perkataan.

Menurutnya lagi, ejaan Jawi tahap keempat inilah yang menjadi asas kepada sistem ejaan Pakatan Bahasa Johor (1937) dan sistem ejaan Za'ba (1938). Walaupun Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi) yang memperkenalkan sistem ejaan Jawi Za'ba itu siap setahun kemudian daripada sistem ejaan Pakatan Bahasa Johor, kita dapat mengatakan bahawa Za'balah yang mempelopori ejaan tahap keempat ini kerana pertama, ejaan Jawi tahap keempat itu telah dirumuskannya dalam Rahsia Ejaan Jawi dalam tahun 1931 lagi, dan kedua, Za'ba juga terlibat dalam penyediaan sistem ejaan yang dipakai dalam Buku Katan terbitan Pakatan Bahasa Johor (1937) itu.

Sistem Ejaan Rumi Za’ba muncul apabila Pendita Za’ba telah membuat perubahan kepada sistem Ejaan Wilkinson. Sistem ini juga dikenali sebagai Ejaan sekolah. Sistem ini digunakan di sekolah-sekolah di Tanah Melayu.
Sistem ejaan Rumi Za’ba daripada satu segi memperlihatkan kaedah penggunaan lambang huruf yang beraneka ragam yang mengakibatkan ketidakseragaman pengejaan kata dalam amalan penulisan sehari-hari dalam semua urusan yang menggunakan tulisan Rumi. Penggunaan Sistem Ejaan Rumi Za’ba menjadi bertambah sukar kerana adanya pengejaan kata yang masih menurut Sistem Ejaan Rumi Wilkinson (1903) dan beberapa sistem ejaan Rumi yang lain yang digunakan di dalam pelbagai jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa yang terbit serta tersebar semenjak tahun 1920-an. Kesan daripada kelemahan sistem-sistem yang ada dan cara penggunaan yang beragam-ragam itu telah mendorong beberapa pihak tertentu menampilkan beberapa sistem baru ejaan Rumi dalam tempoh tahun 1940 hingga 1959. Tiga percubaan yang mendapat perhatian ialah aturan ejaan Rumi yang dikenal sebagai Ejaan Rumi Fajar Asia (1943), Ejaan Kongres (1956) dan Ejaan Rumi PBMUM (1959).

APAKAH PERANAN ZA'BA?
Demikianlah kita melihat sumbangan Za'ba sehubungan dengan sistem ejaan Jawi. Dilihat pada proses libatannya dalam kerjayanya untuk menghasilkan sistem ejaan Jawinya itu, beberapa kesimpulan dapat dibuat sehubungan dengan peranan beliau dalam evolusi sebuah sistem ejaan Jawi.
Peranannya yang pertama ialah sebagai penggerak atau aktivis bahasa. Ini dapat kita lihat pada inisiatif yang diambilnya dalam tahun 1924 untuk menubuhkan sebuah badan yang satu daripada objektifnya ialah membantu usaha penyelarasan ejaan Jawi. Beliau juga ikut bersama dalam kumpulan Pakatan Bahasa Johor yang menghasilkan Buku Katan (1937).
Beliau juga memainkan peranan peneroka dan pencipta satu sistem ejaan secara terperinci berasaskan cerakinan empiris dan memberikan rasionel bagi setiap aspek dalam sistem yang dicadangkannya itu - satu hal yang tidak dilakukan sebelum itu. Beliau menghabiskan dua puluh tahun daripada kerjayanya mengabdikan diri kepada misinya itu. Berasaskan pendidikan yang diterimanya (Senior Cambridge), sumbangan kesarjanaan yang dihasilkannya itu amatlah mengkagumkan.

Misinya bukanlah untuk melahirkan satu sistem yang paling lengkap dan sempurna. Hasratnya hanyalah sekadar memberikan titik tolak yang baru untuk dipergunakan oleh generasi baru bagi menyempurnakan lagi sistem ejaannya itu. Pendiriannya ini dapat dilihat pada kata-katanya:
"Adapun pada masa belum tetap salah satu sekarang ini belumlah boleh diputuskan ketetapannya; kerana keputusan dalam perkara itu ditetapkan perlahan-lahan oleh kebiasaan ramai, iaitu ikut-mengikut dengan tiada sedar, bukan dengan hukum-hukum yang diaturkan atau dipaksakan oleh seorang atau oleh kerajaan sekalipun. Pendeknya ejaan Jawi kita pada perkataan-perkataan yang belum tetap ejanya sekarang ini masih dalam perjalanan menuju kepada ketetapan, dan ketetapan itu akan tiba dengan beransur-ansur mengikut mana ejaan yang lebih ramai orang membiasakannya". 

3 ulasan:

  1. والاوڤون توليسن جاوي اݢق منتڤ نامون ڤمبوداياءنڽ ماسيه کتيڠݢلن.کسل سوڠݢوه همبا اکن مينتاليتي اورڠ کيت.

    BalasPadam

Terima Kasih