Khamis, 3 Oktober 2013

anak derhaka dan penyelesaiannya


PENGENALAN 

Secara umumnya masalah sosial merupakan perlakuan negatif atau buruk anggota masyarakat yang tidak membawa kebaikan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang dijalankan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara tersebut. Masalah sosial boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti rempit, salah guna dadah, vandalisme, anak derhaka, buli, buang anak dan lain-lain lagi. Masalah sosial kebanyakannya melibatkan golongan remaja yang merupakan pemangkin masa depan negara. Masalah sosial yang ingin saya kupas dalam kerja kursus ini ialah anak derhaka atau istilah lain dikenali sebagai si tanggang moden.

Dewasa ini, berita berkaitan anak derhaka acapkali kedengaran di dada-dada akbar dan juga di kaca televisyen yang berkaitan salah laku anak terhadap orang tua mereka. Anak derhaka ini diibaratkan seperti “kacang lupakan kulit”, yang mana apabila telah mencapai kejayaan mereka terus melupakan jasa ibu bapa mereka. Kebanyakan ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan dan penjagaan yang terbaik.

Namun, nasib yang sama belum tentu diterima ibu bapa. Apabila usia mereka mula meniti senja, mereka dilupakan begitu sahaja. Sikap segelintir anak muda zaman sekarang tidak ubah umpama Si Tanggang dalam dongeng Melayu yang mana telah melupakan ibu bapanya yang sudah tua setelah dia menjadi kaya dan berkahwin dengan puteri raja. Si tanggang juga bukan hanya melupakan ibu bapanya malah telah mencerca dan memaki hamun mereka tanpa ada sedikit pun perasaan belas ihsan.

Derhaka terhadap ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar iaitu sebaris dengan dosa menyekutukan Allah, membunuh manusia dan menjadi saksi palsu. Anak yang tidak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selayaknya menerima balasan daripada Allah.

Diriwayatkan oleh Tabrani: “Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia ini adalah berzina dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.” 

Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa, di mana Allah SWT menyuruh agar anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan bahasa yang lembut, seperti firman-Nya yang bermaksud, “…dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun ).” (Surah al- Isra’ ayat 23)

 [850]  mengucapkan kata ah kepada orang tua tidak dlbolehkan oleh agama apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “…dan kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)

Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan : “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” (Sahih Imam al-Bukhari)

Menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain, segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT. Dari Abdullah ban Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,“Keredhaan Allah daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Terdapat banyak contoh menunjukkan pengajaran dan azab derita yang ditanggung jika menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa di dunia ini. Ia mungkin datang dalam keadaan seseorang itu ditimpa penyakit, gagal mendapatkan pekerjaan atau nafkah serta keadaan hidup mereka yang tidak tenang. Contoh yang paling dekat pada diri kita adalah mengenai sirah dizaman rasulullah yang mengisahkan seorang hamba Allah yang menderhaka kepada ibunya.

Contoh daripada Sirah Rasulullah
kisah Wail bin Khattab iaitu anak yang derhaka kepada ibunya.
Disebabkan Wail bin Khattab terlalu cintakan isterinya, dia sering mencaci dan mempercayai segala apa yang dikatakan isterinya terhadap ibunya. Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan yang tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh badannya. Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian.
Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat sehingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku. Sahabat terharu melihat penderitaan dihadapi Wail. Mereka turut mengajar Wail mengucap kalimah syahadah.
Akhirnya Ali bin Abi Talib menemui Rasulullah SAW bagi menceritakan keadaan Wail. Rasulullah SAW meminta ibu Wail dijemput untuk menemui beliau. Rasulullah SAW mahu mengetahui keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum sakit.
Ibu Wail menceritakan keadaan sebenar kelakuan anaknya terhadapnya kepada Rasulullah SAW. Dia sering dicaci oleh anaknya kerana termakan hasutan isterinya. Dia terlalu mempercayai kata-kata isterinya sehingga menyebabkan ibunya terasa hati.

Rasulullah SAW memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya itu. Tetapi ibunya berkeras tidak mahu memaafkannya. Kemudian, Baginda memerintahkan sahabat mengumpul kayu api kerana mahu membakar Wail hidup-hidup.
Rasulullah SAW menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya, Wail pasti derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti. Mendengar kata Rasulullah SAW itu, ibu Wail berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar dia. Wail anakku, aku ampuni dia. Kesalahannya aku maafkan.”
Selepas itu keadaan Wail bertukar dengan wajahnya mula berubah selepas mendapat keampunan ibunya. Dia akhirnya dapat mengucap kalimah syahadah dan kemudian meninggal dunia. Begitulah azab dan penderitaan yang ditanggung oleh seorang anak yang sanggup mengetepikan ibunya.

Allah SWT berfirman:
 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).”
(Surah Luqman, ayat 14) 

Walaupun ada pendapat yang mengatakan kisah ini daif mahupun palsu, akan tetapi pengajaran kisah ini amat baik untuk anak-anak muda sekarang muhasabah diri mereka dalam kehidupan bersama ibu bapa mereka.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA DERHAKA
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada berleluasanya budaya derhaka dan gejala kurang sihat dalam kalangan anak muda dewasa ini. Antara faktornya ialah kurang didikan agama, kesilapan ibu bapa itu sendiri, pengaruh media massa, pengaruh rakan, kelemahan sistem pendidikan dan lain-lain

i. Kurang didikan agama antara punca gejala zuriat jadi 'si tanggang'
- Sudah menjadi lumrah kepada masyarakat pada zaman ini yang lebih mementingkan ilmu duniawi berbanding ilmu keagamaan atau kerohanian. Ilmu duniawi dianggap ilmu yang menjamin masa depan berbanding ilmu agama. Akibatnya unsur kerohanian tidak dapat disemai dalam diri anak-anak hingga mereka tidak tahu yang mereka perlu taat kepada ibu bapa.
- Malah, mungkin ada kalangan anak hari ini yang tidak faham apa itu erti derhaka. Malah ada juga anak-anak yang dihantar ke kelas agama oleh ibu bapa yang kemudianya melencong ke tempat lain. Ada juga anak muda zaman sekarang yang berpendapat bahawa ilmukeagamaan adalah ilmu yang tidak penting dan dianggap sebagai ‘kolot’.

ii. Kesilapan ibu bapa itu sendiri
- Anak yang dilahirkan diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan hala tuju dan masa depan anak berkenaan, justeru dalam hal ini ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak lain atas kesilapan diri sendiri. Ibu bapa zaman sekarang yang kebanyakan bekerja terlalu sibuk mencari nafkah dan mengumpul harta dunia hingga mengabaikan anak-anak yang dahagakan belaian kasih sayang mereka.
- Mereka hanya melimpahkan anak mereka dengan harta kekayaan hingga tidak sedar bahawa anak mereka hanya memerlukan tumpuan dan perhatian ibu bapa. Hal ini akhirnya akan memerangkap keluarga mereka sendiri. Anak yang sebahagian besar masanya dihabiskan dengan pembantu rumah atau di tadika dilihat tidak dapat merasakan nikmat kasih dan sayang daripada ibu bapa sendiri. Akibatnya anak-anak ini membesar menjadi anak yang mudah memberontak, melawan cakap dan memberi arahan kepada orang di sekeliling mereka.

iii. Pengaruh rakan sebaya
- Rakan yang mana sering menjadi tempat meluahkan segala masalah dan juga berkongsi kegembiraan mempunyai pengaruh yang besar ke atas anak zaman ini. Mereka kadang kala lebih mendengar kata, pendapat, pandangan dan nasihat rakan berbanding ahli keluarga sendiri. Jika salah pilih kawan, maka salahlah tingkah laku dan sikap anak berkenaan. Misalnya anak yang bergaul dengan rakan yang tidak mempunyai didikan yang baik serta amalan budaya yang kurang sihat pastinya akan turut mempengaruhi tingkah laku anak kita.

v. Pengaruh media masa
- Terutama media elektronik melalui program televisyen yang terlalu mengagungkan rancangan Barat. Budaya masyarakat Barat yang tidak mementingkan nilai murni seperti membolehkan berkurang ajar dengan ibu bapa sendiri dilihat sangat mempengaruhi gelagat anak kita di rumah. Adegan yang ditonton sering kali menjadi gaya ikutan mereka dalam kehidupan seharian. Kebanyakan filem barat selalu memaparkan anak-anak yang memberontak dan mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar.

v. Kelemahan sistem pendidikan
- Sistem pendidikan kita yang lebih mengutamakan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan dilihat semakin mudah meragut unsur kemanusiaan dan pembangunan modal insan yang patut diterapkan dalam diri setiap pelajar sekolah. Akhirnya mereka membesar seperti mesin ataupun robot yang tidak kenal erti kasih sayang kepada ahli keluarga.
- Satu kajian yang dijalankan beberapa pensyarah Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati dengan bilangan warga emas (60 tahun ke atas) bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020, jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah. Pertambahan itu didorong oleh sikap anak-anak muda zaman moden yang memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah penjagaan warga emas.

Perkara berkaitan

Punca anak terabai
Salah satu punca berlakunya perkara ini kerana kurangnya didikan ilmu agama daripada ibu bapa sendiri. Ibu bapa zaman moden kini terlalu banyak menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah.
Apabila pulang ke rumah, mereka dibiarkan saja dan secara tidak langsung ilmu yang dipelajari terabai begitu saja. Mereka terlalu mementingkan kerjaya masing-masing hingga sanggup membiarkan anak mencari hala tuju kehidupan tanpa sebarang panduan daripada ibu bapa.

Ibu bapa perlu bijak berfikir. Didikan kepada anak perlulah sesuai dengan kehidupan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Faktor makanan
Dalam proses tumbesaran anak-anak, jenis dan mutu makanan sangat penting kerana ia menjadi darah daging. Rasulullah pernah bersabda yang antara lain kisahnya, seo’rang budak bermain bola dan tertendang masuk ke dalam masjid. Dia masuk ke masjid dan bertembung dengan nabi, dan nabi pun menyebut anak subahat sebanyak tiga kali. Ayahnya runsing dan bertanya kenapa Rasulullah berkata begitu. Bila diperiksa rupanya faktor makanan yang dimakan oleh ayahnya mengganggu tumbesaran si anak. Ia membentuk darah daging dan air mani yang akhirnya membentuk si anak.

Makanan yang baik , pertama halal dan kedua bermutu. Duit halal atau haram turut mengkelaskan jenis makanan. Sebab itu, jika berpendapatan tetap salurkan sedekah atau membayar zakat kerana ia  membersih harta. Daripada harta itulah, kita mendapatkan makanan yang akhirnya membentuk darah daging.
Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

teringat satu kes, anak mendapat keputusan SPM pangkat dua. Si anak balik menangis dan minta maaf kepada orang tua. Si bapa marah-marah dan herdik seperti melakukan kesalahan terlalu besar. Tidak puas marah, anak dihalau keluar dan tidak bertegur sampai ke hari ini.
“Kasihan si anak yang telah berusaha tetapi gagal. Itu bukan kehendaknya dan rezekinya setakat itu sahaja, tetapi sikap si ayah membunuh jiwa dan terpahat di ingatannya sampai tua.”

HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak.
“Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tet├ápi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi sunuh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa.
“Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. “Sebenannya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

Cara dan teknik menerap adab terhadap anak
Proses pendidikan yang tidak bermoral turut mempengaruhi. Bagaimana mahu melahirkan anak-anak berakhlak jika di sekolah para guru tidak bermoral? “Selalu ditekankan, jika baran dan marah sekalipun, tolong jangan keluarkan perkataan-perkataan celupar seperti bodoh, bengap atau dungu kepada anak murid, kerana kata-kata guru seperti emak, sebahagian daripada doa,” pesannya.
Sabda nabi saw, “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukul.”
Jika anak-anak bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kalau ibu bapa cium atau peluk anak mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula renggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka.

anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.

anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumah tangga.
Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok. “Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup.

Peranan dan tanggungjawab

Ibu bapa
Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan baik.
Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu pelbagai masalah hidup.
Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya. Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup remaja itu.

Anak-anak
Kisah berbakti kepada ibu bapa

Salah seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW: “Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada mereka? Jawab Rasulullah SAW: Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka, melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat mereka, dan menghubungkan keluarga mereka.”

Oleh itu marilah kita tingkatkan iman dan takwa serta mengasihi ibu bapa. Jika mereka masih hidup ziarah dan tunjukkanlah kasih sayang kita yang tidak berbelah bagi. Jika ibu bapa sudah meninggal dunia, banyakkan berdoa dan memohon keampunan daripada Allah untuk mereka.

Kisah DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan onang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Uman juga pernah berjumpa budak kecil. Dia menghampiri budak itu dan berkata, “Wahai budak, tolong doakan untukku, agar Tuhan ampunkan dosaku.’ Sahabat-sahabat terkejut dan bertanya, “Ya Umar, kamu khalifah,
Allah dan rasul telah jamin syurga untuk kamu, kenapa tidak berdoa sendiri.”
Jawab Sayyidina Umar, budak-budak kecil tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau jumpa budak kecil, baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun anak anak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.
Impak masa depan terhadap institusi kekeluargaan

Antara kesan yang akan berlaku akibat  terhadap institusi kekeluargaan ialah:

Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan, pastinya akan wujud penceraian. Penceraian pastinya akan berlaku kerana keharmonian dan kebahagian rumahtangga tidak dapat dipertahankan lagi. Rumah tidak dianggap sebagai tempat untuk mendatangkan kedamaian tetapi lebih kepada satu tempat yang membosankan. Kiranya kebahagian tidak wujud lagi maka penceraian akan terjadi dan pastinya ia tidak dapat dielakkan.

Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak – anak akan hilang tempat bergantung dan bermanja. Kehidupan anak-anak akan menjadi tidak ceria. Permasalahan ini akan mendatangkan kesan yang lebih buruk pada masa hadapan anak-anak ini. Generasi akan datang akan mudah terpengaruh dengan budaya-budaya luar kerana kurangnya kebahagian dan kasih sayang yang dikecapi dalam institusi kekeluargaan. Anak – anak akan mencari alternatif lain untuk mengatasi masalah yang dihadapi bagi menempiaskan kasih sayang mereka agar segala masalah mereka dapat dikongsi bersama-sama contohnya kepada rakan-rakan, guru-guru, orang gaji, jiran-jiran dan sebagainya

KESIMPULAN
Kesimpulannya, masalah sosial berkaitan anak derhaka ini perlulah diambil perhatian serius bagi mengelakkan perkara ini menjadi masalah yang akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara. Masalah ini perlu ditangani oleh semua pihak tidak kira siapakah anda.
Mari kita sama-sama muhasabah perkara yang paling asas dalam kehidupan kita sehari-harian.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya anak derhaka dan melawan mereka? “Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka.“Sedekah ke masjid atas nama ibu. Walaupun ibu sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.
“Allah maha pengampun dan luaskan rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram. Lebih teruk lagi, Allah tunjukkan dalam bentuk bala. “Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu?
“Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi jalin hubungan yang baik kerana hayat orang tua bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.”
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu perintah dari Allah SWT kepada setiap muslimin dan muslimat. Sebagai seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Di samping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.