Rabu, 15 Oktober 2014

PENGARUH PEMBANGUNAN SAHSIAH TERHADAP PERKEMBANGAN KAREKTOR DIRI SAYA SEBAGAI SEORANG GURU.

Secara umumnya saya sedari saya mengalami kemanisan nilai perubahan pada karektor diri saya. Saya berharap ianya adalah kemanisan nilai ilmu dan amalan atas hanya kerana Yang Maha Esa. Moga Allah s.w.t sentiasa mencurahkan hidayah dan nur ketakwaan kepada saya dalam setiap detik saat mengingatinya, Empat perkara utama yang saya dapat huraikan perubahan karektor diri adalah aspek kognitif, rohani, fizikal dan sosial dengan harapan ianya melibatkan corak tingkah laku bertatasusila dan operasi yang bersifat konsisten.
Secara terperinci pembentukan karektor diri saya merangkumi empat aspek berikut iaitu;

1. KOGNITIF.

1.1. Elemen yang diharapkan dapat saya elementasikan secara tulus adalah berfikir secara positif, mampu dan reda menangani stress, berusaha dan bertawakal dalam mengurus keperluan kerjaya, diri dan tanggungjawab kehidupan.

1.2. Semasa bertugas saya akan memastikan saya berkeupayaan menghuraikan pelajaran dengan jelas dan enguasai mata pelajaran dengan baik. Saya akan adil dalam pemarkahan serta berikhtiar menarik perhatian pelajar dalam proses p&p. Saya mula mengkaji pendekatan-pendekatan agar sentiasa menyampaikan arahan yang jelas dan spesifik.

1.3. Saya berharap karektor diri saya berkembang dengan tidak menyalahgunakan peraturan, luas pengetahuan am, sentiasa muhasabah diri dengan mengajar tidak lari atau terkeluar dari tajuk bila mengajar. Saya mula mengenal dan menjana titik kekuatan murid agar dapat dimurnikan dengan mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan.

1.4 Saya sedaya upaya mengamalkan tugas dan tanggungjawab terhadap penguasaan ilmu. Sebagai seorang guru muslim memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam. Penimbaan ilmu ini akan dilakukan secara beriltizam dengan amanah ilmiah.

1.5 Saya semakin prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari. Kini saya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan. Sebagai seorang guru Muslim saya mula melalui landasan atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan. Saya berharap akan celik keperluan bagi memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

2. ROHANI.

2.1 Elemen rohani yang mula saya rasai adalah menjaga semulianya hubungan dengan Allah s.w.t. Saya mula melatih diri agar berjiwaan yang kental melalui kehidupan beramanah atas landasan tuntutan agama semata-mata. Saya juga bercita-cita memiliki prinsip kendiri yang mantap.

2.2 Saya berdoa dan berusaha untuk sentiasa berkelakuan baik (penyayang dan penyabar) pada semua makhluk ciptaan Allah swt. Saya cuba agar tidak berat sebelah dan sentisa berdisiplin. Sikap amanah dan menunaikan janji akan membina karektor yang dihormati. Jika situasi memerlukan saya akan mengkaji beberapa bentuk prosedur lebih awal agar berupaya membuat penghukuman yang betul. Nilai simpati terhadap kelemahan murid tidak akan saya lalaikan. Saya mula berazam mempunyai kemahuan yang kuat terhadap melakukan perkara baik sebagai perjuangan hidup seorang muslim.

2.3 Etika guru muslim terhadap Allah mula menjadi kajian untuk saya bentuk diri saya. Saya berusaha untuk memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh saya usahakan agar menjadi amalan harian. Saya dapat rasakan perlunya menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah. Keprihatin mula membara untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam. Saya redha melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. Juga tidak lupa akan rasa bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca kalam Allah dan merendahkan diri ke hadratNya.

3. FIZIKAL

3.1 Antara sifat fizikal yang mula membentuk karektor diri dan perlu untuk saya tampilkan adalah mempamerkan tingkah laku seorang muslim sejati, penampilan kendiri yang sederhana serta mengamalkan pengurusan kendiri yang tulus dan tidak memudaratkan.

3.2 Semasa saya bertugas saya akan mengelakkan dari berlakunya suara yang tidak baik(serak-serak basah) atau yang tidak bersesuaian. Saya mencari langkah tertentu agar boleh mengendalikan pengurusan diri secara berkala. Saya semakin mementingkan kebersihan, kesihatan dan sentiasa memastikan pengudaraan bilik darjah yang baik. Semangat riadah atau kesukanan yang kini mula pudar akan saya wujudkan ruang masa agar dapat diluangkan dengan keluarga tersayang.

3.3 Sayajuga mula prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal untuk diri dan untuk ahli keluarga. Saya mengambil peluang untuk beri keutamaan menjaga adap-adap yang lebih semasa melakukan ibadah solat dan semasa musafir ke rumah Allah swt.

4 SOSIAL

4.1 Sikap sosial adalah merupakan faktor yang paling terlihat secara terus dalam urusan kehidupan harian saya. Antaranya perkembangan karektor yang terlibat adalah keinginan berinteraksi dan berkomunikasi secara bertatasusila, saya mula mengamalkan sikap berlapang dada terhadap elemen berkaitan penerimaan terhadap orang lain. Kini saya mengutamakan situasi menang-menag dalam persediaan untuk memberi dan menerima pendapat.
4.2 Antara karektor yang saya impikan terbina dalam diri adalah adanya kesantunan unsur humor dalam tutur kata. Budaya suka menolong pelajar di luar kelas serta fahami masalah pelajar akan saya ikhtiarkan. Saya sentiasa berhati-hati dan memohon pertunjuk Allah agar boleh membezakan antara intan dan kaca dalam memberikan kerjasama dan penglibatan diri. Saya akan mengelakkan diri dari bersubahat atau terperdaya.

4.3 Diri mula mempunyai azam yang kuat agar mempunyai bakat kepimpinan yang murni dan mulia. Saya akan mengelakkan amalan suka menghina murid atas kesalahan mereka tetapi lebih kepada membina penambahbaikan dalam diri mereka. Saya sentiasa berfikir sejenak agar pandai memilih kata-kata yang hikmah dan sejuk dada mendengarnya. Saya berusaha untuk memberi ruang para pelajar menelaah dan mengulangkaji setelah mengambil kira suasana mereka di rumah.

Rumusan.

Pembentukan sahsiah yang unggul akan membentuk generasi guru berkualiti bagi menghasilkan pendidikan bertaraf dunia. Pembentukan sahsiah penting kerana guru adalah agen yang bertindak secara langsuang sebagai penyebar ilmu yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial).

Guru juga bertindak sebagai pembentukan nilai / role model yang harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi bagi menghayati ilmu dengan bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia.

Guru merupakan tenaga ikhtisas yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak serta berkemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif.

Guru perlu bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikaan juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru.

Pembentukan sahsiah akan menjadikan guru lebih cnderung sebagai pengajar efektif yang sentiasa mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif sebagai egen segi perancangan, pelaksanaan, dan penilaian pengajaran yang optimun.