Ahad, 13 Julai 2014

Kita Semua dan Ramadhan part 4

Persoalan mengenai Fiqh Ramadhan oleh S.S Ustaz Dr Zulfkifli Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan.


Berkata Imam al-Zahabi, “Di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiyakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan mereka mengesyaki keIslaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.”

1. Sesuatu Gas atau Seumpamanya yang Dimasukkan Melalui Hidung
1. Menggunakan oksigen buatan bagi yang terbang ke angkasa, tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi.
2. Merokok membatalkan puasa, seperti pendapat jumhur ulama kerana mereka yang ketagih rokok didapati pada hatinya atau paru-parunya kesan dari rokok. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi. Mengikut pendapat Syeikh Hasanain Makhluf dalam Fatawa Syar’iyah, hukumnya batal puasa dan hendaklah dia qadha’ serta dikenakan kaffarah mengikut pendapat yang asah. Inilah yang dinukilkan daripada al-Allamah Ibn Abidin dan juga al-Allamah al-Syarambalali dalam kitabnya, Imdad al-Fattah.
3. Terhidu asap bagi mereka yang bekerja di sebahagian kilang, tidaklah batal puasanya kerana termasuk di dalam umum balwa (sukar untuk mengelakkannya), seperti pendapat Syeikh al-Syarbasi.
4. Mencium bau-bauan dan minyak atar pada siang hari Ramadhan termasuk menggunakan bukhur atau kemenyan. Hukumnya jika sampai kesan kepada halkumnya, maka batal puasanya dan wajib qadha’, sebagaimana kaedah dalam Mazhab Maliki. Sedangkan sebahagian ulama menganggap masalah ini sebagai Umum Balwa yang dimaafkan. Inilah pendapat yang sahih, seperti dalam buku Su’alat al-So’imin.
2. Isu Hadiah Pahala Puasa
1. Menghadiahkan pahala puasa kepada si mati adalah harus dan sampai insya-Allah, seperti fatwa Ibn Jabrin.
2. Puasa bagi orang yang berada di dua kutub utara atau selatan, di mana panjangnya siang hari atau malam hari sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Cara berbukanya adalah dengan melihat kepada waktu di Makkah atau Madinah. Sebahagian yang lain berpendapat, dengan melihat negeri yang berdekatan di mana waktu-waktunya adalah stabil. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi.
3. Qadha’ atau Fidyah Puasa
1. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqadha’ puasanya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkauinya. Secupak bersamaan seraup atau 1 1/3 kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram.
2. Kalau orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, terhapus kewajipan membayar fidyah, seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam kitabnya, Tuhfah. Namun, menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib al-Syarbini, tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang.
3. Orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib mengqadha’ puasanya sahaja tanpa membayar fidyah.
4. Orang yang meninggal dunia sebelum mampu mengqadha’ puasanya, tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti disebabkan bukan kecuaiannya.
5. Sementara orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia telah mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Yang dimaksudkan dengan wali berpuasa untuk si mati bagi puasa yang ditinggalkannya ialah kaum kerabat atau waris si mati sama ada yang berhak menerima pusaka atau tidak. Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi yang terpilih dalam Tashih al-Tanbih.
6. Mengikut pendapat al-Syafie pada qaul yang baru, wajib mengambil harta daripada tarikahnya (pusaka) dengan setiap hari secupak daripada makanan asasi dan tidak sah puasa oleh walinya. Ini juga pendapat kebanyakan ulama, ahli hadis, Abi Thaur dan al-Auza’ie.
7. Sah puasa bagi pihak si mati oleh orang yang bukan daripada kalangan keluarganya apabila diizinkan oleh seorang daripada ahli keluarga tersebut. Sebaliknya, jika tidak diizinkan oleh ahli keluarga si mati atau tanpa wasiatnya, puasa tersebut tidak sah.
8. Jika tiada sesiapa yang menggantikan puasanya, hendaklah disedekahkan makanan bagi pihaknya sehari secupak yang wajib diambil daripada harta peninggalannya, sebagaimana penyelesaian hutang.
9. Orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa dan tidak wajib ke atasnya dan ahli keluarganya selain daripada itu.
10. Begitu juga kepada orang sakit, yang tiada harapan untuk sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua yang tidak terdaya berpuasa tersebut.
11. Perempuan yang mengandung dan yang menyusui bayi, berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan dirinya, maka dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
12. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan kandungan, iaitu perempuan yang mengandung bimbang akan keguguran ataupun ibu yang menyusukan bayinya, bimbang akan susunya berkurangan dan menjejaskan kesihatan bayi tersebut, wajib mengqadha’ puasanya dan membayar fidyah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang mereka tidak berpuasa.
13. Begitu jugalah sesiapa yang berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam bahaya, maka dia wajib qadha’ puasanya dan memberi sedekah tersebut.
14. Qadha’ Ramadhan tidaklah wajib disegerakan, tetapi waktunya sebelum menjelangnya Ramadhan yang berikut. Ini kerana Sayidatina Aisyah R.Anha mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban.
15. Orang yang mati dan masih menanggung qadha’ puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya mengikut pendapat yang terpilih di sisi Syafieyyah. Inilah pendapat Imam al-Nawawi berdasarkan kepada ahli Tahqiq. Walaupun begitu, boleh diberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi negeri tersebut.
16. Adakah harus bersedekah untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan kerana sakit? Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata: Pada pendapat kami, sakit itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sakit sementara yang ada harapan untuk sembuh. Hukumnya tidak harus membayar fidyah atau bersedekah. Ia wajib diqadha’ sahaja.
Kedua: Sakit yang lama dan tidak ada harapan untuk sembuh. Hukumnya seperti hukum ke atas lelaki dan wanita tua. Penyakit ini hendaklah disahkan oleh doktor yang pakar atau melalui pemeriksaan. Ia dikenakan fidyah. Mengikut sesetengah imam, seperti Abu Hanifah, harus kita membayar fidyah dengan duit kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukannya.
17. Orang yang haidh dan nifas, haram dan tidak boleh berpuasa dan hendaklah baginya berbuka dan qadha’ pada hari yang mereka uzur itu.
18. Qadha’ puasa Ramadhan adalah wajib kecuali bagi yang tua dan sakit, yang tiada harapan sembuh, maka hendaklah diberi makan bagi setiap hari yang ditinggalkannya secupak makanan kepada orang miskin.
19. Petani tidak harus berbuka di siang hari dengan sebab pekerjaannya kecuali adanya syarat-syarat yang ketat, seperti kata Syeikh Ba Alawi.
20. Musafir yang mengharuskan untuk berbuka puasa ialah jarak yang melebihi 89 kilometer dan musafir tersebut sebelum terbitnya fajar, tetapi Mazhab Hanbali mengharuskan berbuka bagi yang musafir walaupun di siang hari. Mengikut Mazhab Syafie, menambah syarat yang lain orang yang musafir tersebut bukan sentiasa dalam perjalanan, seperti pemandu kecuali membawa kepada masyaqqah.
21. Mati membatalkan puasa dan hendaklah diberi makan atau diberi ganti oleh warisnya bagi puasa nazar dan kifarah sahaja.
22. Tafsiran hadis Nabi berkenaan dengan ikatan syaitan pada bulan Ramadhan ialah melemahkan kecergasannya berbanding dengan bulan yang lain. Syeikh Atiyah Saqr berkata: Walaupun begitu, di sana ada faktor lain yang mendorong ke arah dosa. Antaranya nafsu syahwat, begitu juga dengan perangai dan akhlak buruk yang sudah menjadi sebati pada diri seseorang.
4. Perselisihan Matla’ dan Negeri dalam Puasa
1. Seseorang yang berpuasa awal di sesebuah negeri, kemudian berada di negeri yang lain yang berpuasa akhir, menyebabkan rayanya juga lewat sehari, menjadikannya berpuasa 31 hari. Afdhal baginya, berpuasa dan sebahagian ulama menyatakan, boleh berbuka kerana takwim Islam hanya 29 hari atau 30 hari sahaja bagi sebulan.
2. Jika sekiranya seorang berpuasa lewat sehari daripada negeri yang dia musafir, seperti Malaysia dan menuju ke Makkah dan kemudian beraya di sana, yang mana rayanya cepat sehari menjadikan hanya beliau berpuasa 28 hari. Syeikh Atiyah Saqr berpendapat, boleh berbuka dan raya pada hari tersebut, tetapi hendaklah menggantikan hari yang lain bagi mencukupkan 29 hari.
5. Isu Perubatan dan Puasa
1. Mengambil pil penahan haid kerana ingin berpuasa penuh pada bulan Ramadhan adalah dibolehkan, tetapi afdhal jangan mengambilnya dan kekal mengikut takdir Allah kepada wanita. Inilah pendapat Syeikh Uthaimin. Pendapat ini juga sama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Pada pendapat saya, sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi’ie dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daipada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat untuk melewatkan haidh agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadhan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudharatkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang-orang alim dan pakar, atau nasihat doktor mengenai ubat itu. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan puasa dan akan diterima Allah, insya-Allah.
2. Orang yang sakit buah pinggang, yang dinasihatkan berbuka oleh pakar boleh berbuka dan tidak perlu qadha’, sebaliknya diberi makan kepada orang miskin setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak (lebih kurang 650g), tetapi jika sekiranya penyakitnya hilang atau sembuh, maka hendaklah diqadha’kannya, seperti fatwa Ibn Jabrin.
3. Dalam Mazhab Maliki, suntikan ke dalam saluran kencing lelaki, hukumnya tidaklah merosakkan puasa.
4. Ambil darah yang sedikit tidaklah membatalkan puasa, seperti untuk menderma kepada yang memerlukan. Inilah pendapat Syeikh Uthaimin.
5. Hukum menukar atau mencuci darah bagi pesakit buah pinggang dalam keadaan puasa adalah batal puasanya, seperti fatwa Syeikh Bin Baz.
6. Hukum menggunakan inhaler di siang hari pada pesakit asma adalah dibolehkan kerana gas tersebut tidak sampai ke dalam perut, tetapi sekadar untuk pernafasan. Inilah pendapat Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Bin Baz, dalam perbincangan feqah berkenaan hal-hal perubatan dan rawatan kali ke-9. Begitu juga dengan pendapat Syeikh Uthaimin dan juga Syeikh Ibn Jabrin.
7. Meletakkan minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit, sekalipun yang berpuasa merasainya pada halkumnya, tidaklah batal puasanya. Inilah fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Hasanain Makhluf.
8. Mencabut gigi di siang hari bagi yang berpuasa, tidaklah batal puasanya, seperti pendapat Syeikh Uthaimin. Ini juga pendapat Mazhab Hanafi dan lainnya.
9. Berbekam pada siang hari pada bulan Ramadhan menjadi khilaf. Yang masyhur di kalangan ramai sahabat tabiin bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi Waqas melakukan bekam. Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam, Ummu Alqamah dan lain-lain. Kecuali Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap hukumnya makruh jika melemahkannya daripada menunaikan puasa. Mazhab Hanbali dan sebahagian Ahli Hadis menganggap berbekam hukumnya batal puasa. Manakala Ata’ berpendapat, wajib kifarah. Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal. 65-66).
10. Dr. Yusuf al-Qardhawi menyebut bahawa Ibn Hazam berkata: “Menggunakan suntikan atau ubat yang disedutkan ke dalam hidung, menitiskan ubat ke dalam telinga, saluran kencing, ataupun memasukkan air ke dalam hidung dan sampai ke kerongkong tidak mencacatkan puasa. Begitu juga dengan berkumur-kumur hingga tertelan tanpa sengaja. Juga tidak cacat puasa dengan sebab bercelak. Tepung, debu, inai, minyak wangi, peria, lalat dan ubat daripada tumbuh-tumbuhan atau seumpamanya juga tidak membatalkan puasa.”
11.Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Puasa tidak terjejas dan batal dengan resapan minyak ke bahagian dalam tubuh melalui lubang roma pada tubuh.”
12. Ibn Hazam berhujah dengan katanya: “Sesungguhnya apa yang ditegah Allah ialah makan, minum, bersetubuh, muntah dengan sengaja dan melakukan maksiat. Kami tidak tahu makan dan minum macam mana yang melalui dubur, saluran kencing, telinga, mata, hidung atau tempat luka di perut atau di kepala. Kami tidak ditegah daripada perkara yang sampai ke perut, selain makan dan minum, selagi mana tidak haram ke atas kami untuk menyampaikannya.”
13. Menderma darah tidaklah batal puasa. Adapun yang menerima darah dianggap sama seperti inject dan yang masyhur, tidaklah batal kerana perubatan tersebut, seperti kata Syeikh Atiyah Saqr.
14. Suntikan yang mengandungi bahan makanan, seperti glukos pada siang hari di bulan Ramadhan membatalkan puasa kerana dianggap makanan pada uruf yang boleh mengenyangkannya, seperti makanan biasa. Inilah fatwa Syeikh Atiyah Saqr.
15. Darah yang keluar daripada wanita yang hamil apabila digugurkan janin, ia terbahagi kepada dua keadaan. Jika janin sudah nyata seperti manusia, maka darah tersebut dianggap sebagai nifas. Justeru, wanita tersebut tidak boleh berpuasa dan solat. Sebaliknya, jika hanya seperti segumpal darah atau daging yang belum nyata sifat manusia, maka hukumnya bukan darah nifas dan hendaklah dia berpuasa. Lihat Fatawa Ramadhan (1/358).
16. Orang yang gila atau sakit jiwa yang membawa kepada pengsan dan seumpamanya, memerlukan penggunaan pil kecil yang diletakkan di bawah lidahnya hingga menjadi tenang. Dalam hal ini, sebahagian ulama menganggap hukumnya tidak batal puasa kerana ia bukan bersifat makanan dan mengenyangkan, tetapi ubat yang tidak sekali-kali menghilangkan lapar dan dahaga. Hal ini diharuskan. Lihat Su’alat al-So’imin (hal. 73).
6. Persetubuhan dan Mukadimah Jima’
1. Bersetubuh membatalkan puasa, tetapi sekiranya terlupa, maka tidaklah batal, seperti diqiaskan kepada makan dan minum.
2. Air mani yang keluar dengan sengaja, seperti perbuatan bercumbu adalah batal puasanya. Begitu juga dengan cara istimna’.
3. Bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadhan, sedangkan dia di dalam keadaan bermusafir, tidaklah dikenakan kafarah ke atasnya. Inilah pendapat Syeikh Ibn Jabrin.
4. Air mani yang keluar dengan tidak disengajakan, tidaklah batal puasanya. Begitu juga jika seseorang bermimpi sehingga keluar mani pada siang hari, hukumnya tidak membatalkan puasa menurut ijma’ fuqaha.
5. Makruh secara tahrim bercumbu dalam bulan Ramadhan dengan isterinya pada siang hari bagi orang yang syahwatnya bergelora sama ada lelaki atau perempuan. Inilah pendapat Mazhab Hanafi dan Syafie. Walaupun begitu, Ibn Munzir berkata: “Telah memberi rukhsah (pada bercumbu) oleh Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah,’ Aisyah, Ata’, Sya’bi, al-Hasan, Ahmad dan Ishak.”
6. Sengaja membatalkan puasa Ramadhan dengan melakukan persetubuhan, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu adalah haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan, adalah wajib kaffarah.
7. Kaffarah hanya wajib ke atas suami yang melakukan persetubuhan. Kaffarah tidak wajib ke atas isteri atau perempuan yang disetubuhi, sekalipun mereka berpuasa.
8. Siapa yang bersetubuh di siang hari dengan sengaja pada bulan Ramadhan dan belum membayar kaffarah, kemudian bersetubuh pada hari yang lain, hukumnya dibayar satu kaffarah sahaja mengikut riwayat Hanafi dan Ahmad. Dalam Mazhab Syafie dan Malik serta satu riwayat daripada Ahmad, hendaklah dibayar dengan dua kaffarah kerana setiap hari adalah ibadat yang berasingan.
9. Bersetubuh pada hari yang sama di bulan Ramadhan dua kali dan belum menyelesaikan yang pertama kaffarahnya, maka ke atasnya satu kaffarah sahaja dengan ijma’.
10. Apabila seorang gila bersetubuh dengan isterinya pada siang hari, maka terbatallah puasa isterinya dan wajib ke atas isterinya kaffarah, tidak ke atas suaminya kerana termasuk dalam uzur syar’ie, dengan sebab gila. Inilah pendapat al-Imrani dalam al-Bayan.
11. Apabila seseorang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari ketika qadha’ puasa Ramadhan, tidaklah wajib ke atasnya kaffarah. Inilah pendapat al-Imrani dalam al-Bayan. Sedangkan kata Qatadah ialah wajib ke atasnya kaffarah.
12. Melakukan liwat adalah membatalkan puasa. Begitu juga jika seseorang itu mendatangi binatang sama ada pada qubul mahupun duburnya, sebagaimana yang disebut di dalam Ahkam al-Siyam.
13. Bersetubuh dengan isteri ketika musafir di siang hari pada bulan Ramadhan, seperti yang disebut dalam Fatawa Ramadhan (1/315). Hukumnya harus dia tidak puasa pada hari tersebut dan boleh bersetubuh, makan dan minum kerana orang musafir tidak wajib berpuasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.
(Surah al-Baqarah: 184)
7. Masalah Muntah
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa. Sebaliknya, seseorang yang termuntah tidaklah batal puasa berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah daripada Abu Daud dan al-Tirmizi.
8. Memasukkan Sesuatu ke dalam Rongga
1. Menggunakan titisan seperti eye-mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi.
2. Suntikan melalui dubur adalah membatalkan puasa kerana ia merupakan ruang yang terbuka.
3. Suntikan melalui urat pula tidaklah membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Azhar pada tahun 1948, apa-apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka, tidaklah batal puasa.
4. Apabila seseorang mencurahkan air ke dalam telinganya dan sampai ke otaknya, nescaya batallah puasanya, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Ahkam al-Siyam.
5. Ijmak ulama masa kini bahawa suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal puasa, seperti dinukilkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh al-Siyam, (hal. 100). Hal ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Azhar Mahmud Shaltut, Syeikh Muhammad Salamah Jabr dan Syeikh Ali Tantawi. Ini berbetulan dengan kalam Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut: “Jika dimasukkan ubat ke dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat tersebut kepada otak, nescaya tidak batal puasa tanpa khilaf kerana ia tidak termasuk dalam anggota rongga terbuka.”
6. Berkenaan suntikan sebagai ganti makanan yang memberi tenaga, hukumnya tidak disepakati oleh ulama masa kini. Ada yang berpendapat batal puasanya kerana dianggap sebagai makan dan minum. Antara yang mentarjihkan pendapat ini ialah Syeikh Muhammad al-Syaibani dalam bukunya, Tabyin al-Masalik (2/158).
7. Puasa tidak batal jika agas, lalat atau debu jalan masuk ke dalam rongga kerana umum balwa (sukar untuk mengelakkannya).
8. Air kumur-kumur atau yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga tidaklah membatalkan puasa jika sekiranya perbuatan tersebut dilakukan secara tidak berlebih-lebihan.
9. Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur tidak membatalkan puasa sekiranya susah untuk membezakan dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Hal ini jika sekiranya sedikit. Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan banyak, maka ia membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab Maliki, Syafie, Hanbali, Abu Yusuf dan Zufar.
10. Lelaki atau perempuan yang terkena penyakit buasir terpaksa menolaknya dengan menggunakan jari ketika qadha’ hajat adalah batal puasanya mengikut nas Hanafi. Syeikh Hasanain Makhluf menambah, ia termasuk dalam golongan yang uzur, yang mengharuskan berbuka dan hendaklah qadha’ selepas sembuh penyakit. Walaupun begitu, al-Baghawi dan al-Hawarizmi berpendapat, tidak batal puasa dan inilah yang dipegang oleh al-Azraie.
11. Merasa makanan adalah dibolehkan yang dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih. Ibn Abbas berkata: “Tidak mengapa merasa makanan seperti cuka dan sesuatu yang mahu dibelinya.”
12. Menelan balgham atau sejenis kahak bagi yang tua dan menyukarkan untuk meludahnya adalah sah puasanya, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini juga pendapat Mazhab al-Syafie dan Imam Ahmad pada satu riwayat.
13. Menelan air liur yang biasa pada adatnya tidaklah batal puasa kerana sukar mengawasinya, dengan syarat tidak bercampur dengan darah atau sisa-sisa makanan dalam kuantiti yang banyak. Begitu juga tidak dihimpun air liur, kemudian menelannya. Jika seseorang itu menelan air liur orang lain, seperti mengucup isterinya atau menghisap lidahnya, maka hukumnya ialah batal puasa.
9. Niat
1. Niat puasa Ramadhan tidak sah kecuali pada waktu malam (sebelum masuk Subuh) sahaja. Dalam mazhab Syafie, niat puasa hendaklah pada setiap malam, tetapi boleh diihtiyat (untuk berhati-hati) dengan bertaqlid dengan mazhab Maliki, yang memadai berniat di awal Ramadhan sahaja (berniat sebulan).
2. Puasa sunat boleh diniatkan pada siang hari sebelum matahari tergelincir, berdasarkan hadis Aisyah R.Anha, seperti riwayat al-Daraqutni.
3. Seseorang yang sedang berpuasa, berniat untuk berbuka, maka batallah puasanya sekalipun beliau tidak berbuka. Ini kerana niat merupakan satu rukun dari rukun puasa. Inilah pendapat Sayid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah. Inilah pendapat yang rajih di sisi Mazhab al-Syafie dan Hanbali.
4. Tidak memadai niat puasa Ramadhan dengan hanya berniat “aku puasa esok hari” sahaja, tetapi mestilah menyebut bulan Ramadhan. Ini kerana ia merupakan ibadat yang disandarkan kepada waktu. Justeru, wajib ta’yinkannya. Tetapi pendapat yang muktamad ialah tidak wajib disertakan niat perkataan fardhu kerana puasa Ramadhan itu sendiri daripada mukallaf yang semestinya fardhu. Inilah pendapat Syeikh Ba'Alawi dalam Bughyah al-Mustarsyidin.
5. Sah niat puasa dalam hati walaupun ketika dalam solat, sebagaimana di dalam kitab al-Majmu’. Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Dengannya, diketahui bahawa sah niat i’tikaf dalam solat.”
10. Berkenaan Terlupa atau Dipaksa
1. Makan dan minum dengan sebab terlupa pada siang hari di bulan Ramadhan tidak batal puasa kerana Allah memberinya makan dan minum seperti riwayat Abu Hurairah daripada al-Bukhari dan Muslim.
2. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami menukilkan pendapat Abu Bakar al-Ajiri: Orang yang bekerja berat ialah orang yang mempunyai pekerjaan yang berat. Jika dia bimbang berlaku kebinasaan dengan sebab puasa, maka dia boleh berbuka dan melakukan qadha’ jika seandainya pekerjaan tersebut mendatangkan kemudharatan sekiranya ditinggalkan. Jika meninggalkan pekerjaan itu tidak membawa sebarang kemudaratan, dia berdosa kerana berbuka. Jumhur fuqaha menetapkan bahawa wajib ke atas pekerja yang melakukan kerja berat bersahur dan juga berniat puasa. Jika berlaku sebarang keuzuran atau lapar yang amat sangat dan dibimbangi berlaku kemudharatan, harus baginya berbuka puasa dan melakukan qadha’. Jika sekiranya kemudharatan pasti berlaku dengan sebab puasa, maka wajib ke atasnya berbuka, seiring dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
(Surah al-Nisa’: 29)
3. Puasa seseorang yang makan atau minum kerana dipaksa tidak batal disebabkan kemahuannya terhalang ketika itu.
4. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa seorang yang diperlukan oleh orang lain bagi menyelamatkan seseorang anak Adam yang tidak berdosa daripada kebinasaan, seperti lemas dan sebagainya, maka ia wajib membatalkan puasanya dan tidak perlu membayar fidyah. Dalam keadaan dia berupaya tanpa berbuka puasa, haram baginya berbuat demikian. Jika sekiranya air termasuk ke dalam halkumnya, ia tidak membatalkan.”
5. Jika sekiranya seseorang menjangka fajar belum terbit lagi dengan makan atau minum, sedangkan ternyata sangkaannya itu salah, maka batallah puasanya. Walaupun begitu, hendaklah ia meneruskan imsa’ sepanjang hari tersebut kerana menghormati Ramadhan.
6. Ibn Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni: “Bahawa sesiapa yang makan disangka fajar masih lagi belum terbit, tetapi sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan sangkaan matahari sudah terbenam, sedangkan belum lagi, maka puasanya batal dan hendaklah diqadha’. Inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu.”
7. Tidak batal puasa dengan masuk sesuatu ke dalam rongga dengan sebab lupa atau dipaksa, atau jahil, yang diuzur dengannya oleh syarak.
8. Jika seseorang yang sedang berpuasa menguap dalam keadaan mendongak kepalanya ke langit, tiba-tiba masuk air hujan ke halkumnya, atau air yang jatuh daripada sutuh rumah yang masuk ke dalam mulutnya, maka hukumnya membatalkan puasa kerana dia mampu untuk mengelaknya.
9. Seorang yang sedang berpuasa melalui majlis orang sedang musafir sedang makan dan makan bersamanya, sedangkan dia lupa. Mengikut Mazhab Maliki, hukumnya batal puasa dan wajib qadha’. Ibn Rusyd berkata: “Mewajibkan qadha’ dengan qiyas tersebut adalah lemah, tetapi qadha’ wajib kerana perkara yang baru dengan sebab makan.” Sedangkan jumhur ulama menganggap puasa ini sah tanpa perlu qadha’ berdasarkan nas.
10. Jika dipaksa yang sedang berpuasa untuk berbuka atau dimasukkan makanan ke dalam halkum tanpa pilihannya atau dipaksa isteri untuk bersetubuh, maka dalam hal ini, ada dua pendapat. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali yang masyhur, hukumnya batal puasa, sedangkan di sisi Mazhab al-Syafie dan Ahmad ialah tidak membatalkan puasa bagi mereka yang kena paksa.


Isnin, 7 Julai 2014

Kita Semua dan Ramadhan part 3



JADUAL HARIAN SEORANG MUSLIM DI BULAN RAMADHAN

4.00 a.m
1.Bangun berdoa kepada ALLAH dengan doa:
  “Segala  puji  bagi  ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan  aku dan kepadanyalah aku akan dikembalikan.”
2.Berniatlah  untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu.
3.Mandi dan membersihkan  diri. 
4.Mengambil  whudu'  dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian. 

4.20 a.m
1. Solat sunat Taubat 
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. 
Rakaat pertama   selepas  Al-Fatihah  baca  surah Al-Kafirun, 
Rakaat kedua selepas  Al-Fatihah  baca  surah  Al-Ikhlas.  
Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah  menyesali dosa-dosa.
2. Solat sunat Tahajjud 
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat  kerana ALLAH Taala. 
Rakaat  pertama  selepas  Al-Fatihah  baca  surah  Al-Kafirun, 
Rakaat kedua selepas  Al-Fatihah  baca  surah  Al-Ikhlas.  
Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.
3. Solat sunat Hajat 
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala   
Rakaat pertama  baca  ayatul Kursi  1  kali Selepas Al-Fatihah  
Rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali 
Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.
4. Solat sunat Witir 
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala Selepas  salam,  bangun  lagi  dan sembahyang witir 1 rakaat. 
Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta,  merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, terima taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.


5.00 a.m
1.Makan sahur
2.Mengosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.

5.30 a.m
Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat. Sembahyang  sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.
Elakkan  tidur  selepas  Subuh, kerana waktu itu adalah waktu paling berkat untuk memulakan pekerjaan.

- Niat beriktikaf di Masjid - 
نَوَيْتُ اْلإِعْتِكَافَ فِىْ هَذَا الْمَسْجِدِ سُنَّةَ لِلَّهِ تَعَالَى.
aku berniat iktikaf dalam masjid ini kerana Allah Ta’ala.


7.00 a.m
1. Membuat persiapan ke tempat kerja. Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah  dan  dengan  berniat  dengan  niat yang baik-baik. 
2. Mulakan kerja dengan Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkatiNYA, Sentiasa  berselawat  kepada  Rasulullah  SAW  samada menyebutnya atau di hati. 
3. Banyakkan istighfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan  penuh bertanggung jawab. Datangkan   rasa   bahawa   ALLAH   sentiasa memerhati  kerja-kerja yang dilakukannya dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 a.m
1. Sembahyang sunat Dhuha, Ia adalah sumber rezeki yang berkat kalau istiqamah diamalkan. Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
2. Penuhi  masa  rehat  tengahari  dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran.  Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
 Contoh dosa-dosa : Mengumpat mengutuk,menyindir yang menyakitkan orang,bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan yang bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dengan kerja


12.45 p.m

1. Bersiap untuk solat Zohor.
2. Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat. Solat  Zohor  berjemaah.   
3. Laksanakan  juga  solat  sunat  Rawatib Bersujud syukurlah  setelah selesai  sembahyang  sunat  dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yang memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

4.15 p.m

1. Bersedia untuk solat Asar.
2. Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.
3. Bersujud  syukurlah  setelah  selesai  sembahyang  sunat  dan wirid sebagai berterima   kasih  kepada  ALLAH  yang  memberi  kita  nikmat besar dapat menyembahNYA


5.30 p.m

Membeli  barang-barang  keperluan  berbuka dan sahur  tanpa berlebih-lebih. Ingatlah  walaupun  Syaitan  dirantai  tetapi  nafsu masih  ada dalam diri kita!

6.30 p.m

1. Memperbanyakkan  doa  sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah  sabda  Rasulullah  SAW  : "Ramai orang  yang berpuasa, yang mereka dapat  hanya  lapar  dan    dahaga", merintihlah  kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.
Apabila masuk waktu Maghrib, bacalah doa berbuka :

DOA 1

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya : Telah hilanglah dahaga, telah hilanglah peluh, dan telah tetaplah ganjaran insyaAllah (sekiranya dikehendaki Allah).

DOA 2

اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ بِرَحْمَتِكَ يَاأَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ

Maksudnya : Ya Allah kerana Engkau aku telah berpuasa, kepada Engkau aku telah beriman, dan dengan rezki Engkau aku telah berbuka dengan rahmatMu, wahai sebaik-baik Pemberi Rahmat.

2. Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak. 
3. Seeloknya setelah memakan  kurma  dan  meminum air, terus menunaikan solat 
maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan yang berat.

8.00 p.m

1. Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Taraweh
Cuba  pertahankan  solat  taraweh  walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya  amat besar.  Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir,  seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba  khatamkan  membaca  Al-Quran  paling  kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar  mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan 

11.00 p.m

1. Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
“Berniatlah  untuk puasa esok hari dengan berniat : 

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.
atau
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ لِلَّهِ تَعَالَى 
Niatnya: Sahaja aku puasa esok kerana Allah Taala.
Lafaz Niat Yang Lengkap:

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari bagi menunaikan puasa Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.
Tidur awal agar dapat bangun awal  untuk beribadah.
2. Bacalah doa tidur
الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر
Maksudnya : Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepadaNya kami akan kembali.

Moga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang cukup bermakna. ><

( jika tidak dapat melakukan kesemua sekali cukuplah sekadar mengambil sedikit amalan diatas untuk dijadikan sebagai amalan mulia di bulan Ramadhan )
( jadual diatas hanyalah cadangan sahaja, bukan mengambil tabiat / amalan seseorang dan bukan juga amalan biasa yang dilakukan oleh penulis. penulis hanya picisan daripada hamba2 Allah yang sedang memburu kebaikan dalam bulan Ramdahan ) 

p/s: Cuba bayangkan.

- Solat taraweh bersama Imam sehingga selesai, Allah tulis pahala Solat sepanjang malam.

- Solat Isha' berjamaah dapat pahala solat separuh malam.

- Solat Subuh berjamaah dapat pahala solat sepanjang malam.

- Baca al Quran, Alif Lam Mim sahaja sudah dapat 30 ganjaran pahala. ( satu huruf 10 pahala ). Apatah lagi bacaan 1 juzuk.

Jika sebegini besar ganjaran yang Allah berikan. Apa yang menghalang kita untuk beramal di bulan Ramadan ini ?














Kita Semua dan Ramadhan part 2

kita masuk kepada bab perkara asas dalam kita berpuasa di bulan Ramadhan yang mulia ini. perkara ini perlu dibaca dan difahami dengan sebaiknya agar kita dapat menguasai ilmu fardhu ain berkenaan puasa dengan sehabis mungkin bagi mengelakkan salah faham dan ketidak tahuan mengenai puasa.

PUASA


 Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.

Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.

Dalil
Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:
maksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa.

Syarat Wajib Puasa:

1)                  Islam
2)                  Mukalaf
3)                  Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur
4)                 Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.


Syarat Sah Puasa:

1)                  Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.
2)                  Suci dari haid dan nifas.
3)                  Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.
4)           Bukan pada hari yang tidak sah puasa eg. Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).

Rukun Puasa:

1)                  Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.      
2)                  Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.


Perkara Membatalkan Puasa:

Sekiranya

1)                Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.

2)                  Muntah dengan sengaja.

3)                  Mengeluarkan mani dengan sengaja.

4)                  Haid atau nifas.

5)        Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).

6)                  Murtad (keluar dari Islam).

7)                  Gila (hilang akal).

Pantang-larang puasa:




Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).

1)                  Berdusta, berbohong.
2)                  Mengumpat, mengata orang.
3)                  Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.
4)                  Marah.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

1. Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.
(Hadis Riwayat Muslim)

2. Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.
(Hadis menurut Sahih Muslim)

Sunat-sunat Puasa:

1)                  Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.


2)                  Makan sahur walaupun sedikit.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan  kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.

3)                  Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.

4)                  Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.

5)                  Memperbanyakkan membaca Al-Quran.

6)                  Memperbanyakkan sedekah.

7)                  Beriktikaf siang hari dalam masjid.

8)                  Menghadiri majlis-majlis ilmu.

9)                  Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.

Golongan Yang Harus (Dibenarkan) Berbuka Puasa:

1)                  Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.
2)                  Orang sakit, wajib di qada’.
3)                  Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah.

Bacaan Niat Puasa:

1) Lafaz niat puasa Fardhu Ramadhan
“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan Fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala”.


“Ya Tuhanku, keranaMu jua aku berpuasa, dan denganMu aku beriman dan di atas rezekiMu aku berbuka dengan belas kasihMu Ya Allah Ya Amat Mengasihi”.



Imam az Zuhri,

Terkenal sebagai yang terawal merekodkan hadith, seorang hufaz yang hebat dan faqeeh yang masyhur, seorang tabi'in yang bermastautin di Madinah.

Abu Znad pernah berkata, "kami pernah bersama az Zuhri dan tawaf dengannya. senantiasa di tangannya lembaran untuk mencatit semua yang didengarinya"

Umar ibn Abdul Aziz menulis kepada para pegawainya, "lazimilah Ibn Syihad (gelaran kepada az Zuhri), kalian tidak akan mendapati sesiapa yang lebih memahami sunnah daripadanya"

Imam az Zuhri ketika Ramadhan, menggiatkan bacaan hadith dan majlis ilmiah, juga lebih kerap membaca dan menghayati al Quran berbanding bulan-bulan yang lain.

#SEMARAKKANRAMADHAN