Selasa, 30 Disember 2014

Selagi mana mampu

سالم رنوعن.

Assalamualaikum.
 
Rumah kami terkepung dengan air banjir. 

Menyesal pula balik bercuti di kampung hujung minggu. Sekarang, dah tak boleh keluar dari sini. Nasib baiklah rumah ni di kawasan tinggi sikit. Tapi, kawasan yang lain yang tenggelam. Jalan utama dah tutup.

Jawabnya, berkampung dalam rumah sehinggalah air banjir surut. Adik-beradik lain ada di rumah sama. Balik sebab nak kemas-kemas bilik masing-masing. Takut barang-barang kesayangan dibawa air. 

Yang peliknya, abah nampak happy. Aku pun pelik. Adik-beradik lain pun pelik. Dahlah streamyx pun dah terputus, tiang dah tumbang. Internet fon bukan main siput lagi. Bosan kot duk rumah ni. Nak-nak, seminggu nak hidup dalam banjir. Nak tengok tv, tak ada cerita best. Nak layan movie di laptop, bosan ulang tayang benda sama. Nak turun dari rumah main air banjir, nanti demam pula tak pasal-pasal. Last-last, duduk sajalah dalam bilik. Tidur.

Lepas Isyak, abah panggil semua anak-anaknya berkumpul. Abah suruh,

"Semua ambil Al-Quran, tunggu di ruang tamu." 

Aku pun dengan malas ambil Al-Quran dan tunggu. Adik-beradik lain pun nampak malas juga. Maklumlah sibuk dengan henpon masing-masing. Dah besar-besar belaka dah pun. Semua umur 22 ke atas. Memang dah season berpasangan belaka. Dah beberapa orang yang kahwin.

"Semua dah ada ya. Baiklah, abah nak tanya, berapa umur abah sekarang?"

Angah menjawab,

"67 tahun. Kenapa abah?"

Abah senyum. 

"Rasulullah s.a.w. umur 63 tahun wafat. Bermakna abah sekarang dah guna umur subsidi 4 tahun."

Along pula mencelah.

"Kita nak baca Ya Sin ke malam ni? Siapa yang meninggal?"

Abah menggelengkan kepala.

"Malam ni, abah nak setiap seorang baca Al-Quran depan abah. Biar abah dengar dan check, betul atau tidak bacaan kamu."

Kami semua tersentak seketika. Angah bersuara,

"Tapi, kami dah dewasa. Dah umur 20, 30 tahun dah. Dah boleh baca sendiri, abah."

Abah senyum.

"Bila kali terakhir kamu baca Al-Quran depan abah?"

Semua terdiam. Abah menyambung kata,

"Seingat abah, kali terakhir setiap dari kamu baca depan abah, masa akhir sekolah rendah. Kemudian, khatam. Lepas tu, setiap dari kamu sibuk dengan study, kejar cita-cita masing, hinggalah dapat kerja dan berkeluarga. Jarang ada di rumah lagi."

Along mencelah pula,

"Maksud abah? Kami tak faham."

Abah senyum manis.

"Adakah abah hanya layak periksa bacaan anak-anak masa kamu semua masih kecil saja? Tak kan?"

"Akhir-akhir ini, abah banyak berfikir. Kerja mengajar Al-Quran pada anak-anak sepatutnya kerja abah seumur hidup. Supaya setiap hari, abah dapat pastikan anak-anak baca Al-Quran. Hidup dengan Al-Quran. Tapi, abah perhati, misalnya bila kamu balik kolej, tak ada pun anak-anak abah nak datang dekat abah, baca Al-Quran seperti kamu kecil-kecil dulu. Balik kampung, tak pernah abah dengar antara kamu baca Al-Quran walaupun berseorangan. Semuanya asyik dengan hal masing-masing. 

Abah rasa abah gagal sebagai seorang abah.

Abah dah tua begini. Baru abah sedar kesilapan abah. Abah dah tengok anak-anak abah berjaya di dunia. Belajar bagus, kerja pun alhamdulillah. Tapi, dari sudut akhirat, abah rasa dukacita. Abah tak menyediakan anak-anak abah dengan jiwa Al-Quran.

Andai baca pun jarang, bagaimana nak beramal dengan isi dalam Al-Quran itu? Jauh sekali."

Kami semua terdiam lama. Sebak. Terasa ke lubuk kalbu. Akui memang Al-Quran dipinggirkan dalam kehidupan sehari-hari selama ini.

"Abah dah tua...abah harap abah belum terlambat untuk mengajar Al-Quran pada kamu semua balik. Harap sangat."

Along ke depan abah. Dengan linangan air mata. Angah pun sama turut menangis. Aku pun dah menitis air mata sama. 

"Along nak baca dulu, abah. Bagi along baca dulu. Abah periksa bacaan along dulu." 

Abah senyum, namun aku nampak air matanya jatuh saat mendengar anaknya seorang demi seorang membaca Al-Quran di hadapannya. Seolah-olah berkata dalam hatinya,
"Abah takkan putus asa. Selagi ada masa tersisa."

cerita oleh: Aman Shah
Indahnya cerita ini. menusuk kedlm kalbu.

LIHATLAH DGN HATI


Di balik titis-titis hujan yg jatuh, Allah membawa bahasa cintaNya kpd manusia...
Allah tidak zalim...
Malah Allah kasih...
Lihatlah dgn hatimu..
Andai air bah ini tidak menjadi tragedy, pasti konsert2 ambang tahun baru itu akan diadakan..
Betapa ramai anak2 luar nikah akan dilahirkan...
Lihatlah lagi..
Allah memberi kita ruang utk memberi sedekah...menghulur bantuan..
Lihatlah lagi...
Masjid2 diwarnai dgn bacaan yasin, tahlil dan solat hajat...
Jika tidak krn air bah, barangkali jemaah hny dtg utk bersolat shj..
Lihatlah lagi kasih Allah...
Semua para pemimpin turun padang buat kerja dr mrk duduk saja..
Lihatlah lg..
Dana kerajaan dpt disalurkan pd jalan yg betul..
Andai air bah ini tidak hadir, mgkin juga rasuah melata sana sini...
Allah memelihara M'sia dgn kasihNya..
Ini ujian...ujian ini pasti tidak lama..
Ujian utk menyatukan seluruh insan..
Sampaikan kpd mangsa2 banjir..
Spy mrk juga dpt melihat musibah ini sbg jalan utk mrk membantu negara menyelamatkan 'sesuatu' dr 'sesuatu'.

Khamis, 18 Disember 2014

Ceramah Perdana bertajuk "Berilmu dan Beradab"

Oleh : SS Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan.
Anjuran : Education Malaysia of Cairo, Mesir.

1- Ibnu Abbas kata antara darjat ke darjat 500 tahun perjalanan.

2- Imam al-Syafie kata ilmu bukan semata-mata kebijaksanaan, tapi ianya dizahirkan dengan perbuatan dan perlakuan.

3- 3 perkara perlu dituntut dalam ilmu 1) Banyak maklumat 2) Beramal 3) Takut kepada Allah. Surah Fathir menyebut "Di antara orang yang paling takut kepada Allah hanyalah para ulama".

4- Imam Ibnu Athoillah dalam Hikamnya sebut, "Ilmu kalau tak rasa takut kepada Allah akan membinasakan kamu."

5- Ilmu bukan hanya sekadar pertukaran maklumat bahkan

6- Orang yang berilmu itu bila berkata-kata menunjukkan kedalaman dia. Apabila dia bercakap, akan zahir kehaibahan diri.

7- Ibnu Rejab, Imam Al Ghazali, Imam An Nawawi ada sebut pasal kelebihan ilmu dalam kitab2 mereka.

8- Nabi Muhammad SAW ada minta doa supaya melindungi ilmu yang tidak memberi manfaat. Sebab ia merugikan.

9- Tatkala kita mula cari ilmu, kita kena tashih niat.

10- Dalam Minhajul Abidin ada sebut, Nabi bersabda mafhumnya, siapa cari ilmu untuk cabar ulama supaya nampak hebat, dia takkan bau syurga.

11- Kita ke Mesir, kena perbetul niat yang pertama. Bumi Mesir mempunyai ramai sangat ulama seperti panjangnya Sungai Nil.

12- Kutip seberapa banyak ilmu di Mesir.

13- Siapa yang tak pernah ke Mesir pasti akan ada kejutan budaya sebab tak sama yang difikirkan sebelum ni. Masyarakatnya tak kenal ulama. Jadi, kena rujuk orang yang autoriti.

14- Contohnya Imam An Nawawi ada sebut, jika pergi ke Mekah, jangan ambil semua ilmu apa yang orang Mekah buat, kerana bukan semua yang mereka buat itu betul belaka. 

15- Lepas tashih niat dan berguru tu, kena ambil semangat orang yang hebat.

16- Kalau kita ada satu tekad yang baik, dan azam yang baik, kena tetap dan stabil.

17- Ketika cari ilmu, kita kena rasa ilmu kita sentiasa sedikit. Banyak mana pun, mesti rasa sikit. Allah sebut sendiri kata ilmu kita ni sikit. Sikit daripada yang sikit. Kerana ilmu Allah lah yang paling luas.

18- Kita belajar ilmu hanya sejuzuk daripada ilmu. Betapa sikitnya ilmu kita.

19- Yang pentingnya adalah adab. Kerana adab adalah daripada Tuhan. 

20- Kita lupa akan adab menyebabkan kepincangan dalam ilmu. 

21- Jika kita banyak ilmu tapi kita bankrap dan muflis adab menyebabkan jiwa kita bengkak. 

22- Dr Zulkifli suka sangat Syeikh Mutawalli Syaarawi sejak dari bangku sekolah menengah. Hingga beliau menamakan adik bongsunya nama ulama tersebut.

23- Syeikh Mutawalli Syaarawi seorang luar biasa. Beliau kurang minat masuk agama, tapi guru dia tahu kata dia cerdik.

24- Syeikh Mutawalli tak minat menyebabkan beliau cari alasan untuk minta belikan buku banyak, Ayahnya sanggup mai Kaherah untuk belikan. Beliau terus tersentap dan sedar. Akhirnya Syeikh menjadi "Ustaziyatul alam".

25- Cukup payah untuk kita kuasai hati supaya jadi baik.

26- Perangai suka menghukum orang adalah sifat tak baik. Itu penyakit hati. Selalu rasa tak puas hati dekat orang. 

27- Siapa yang tahu keburukan hati kita melainkan kita sendiri.

28- Dr berpesan, kita takda pantang larang dalam Facebook. Share dan copy paste tanpa tashih, tak selidik kebenaran berita.

29- Abdullah Ibnu Mubarak kata adab itu banyak penting daripada ilmu.

30- Nabi Muhammad SAW adalah penyempurna akhlak, bukan pengikut kepada akhlak. Maksudnya baginda menunggangi akhlak. Akhlak yang ikut Nabi. Berbeza dengan kita, kita kena buat bagi akhlak kita baik.

31- Manusia kalau dapat akhlak, dia ada nombor 1. Jika rupa paras cantik, tambah satu 0, jadi 10. Jika kaya, tambah lagi satu 0, jadi 100. Jika ada jawatan hebat, tambah lagi 0, jadi 1000. Jika akhlaknya takda, buang nombor 1. Tinggal 0 terus semuanya.

32- Jika kamu dengan orang besar, kena hormat, dengan orang kaya kena hormat, dengan orang fakir kena rendah diri - Syeikh Abdul Qadir al-Jailani

33- Allah takkan jadikan kita sempurna ilmu. Kalau ada pun susah melainkan izin Allah.

34- Imam al-Syafie sangat pakar dengan semua ilmu termasuk perubatan, firasat, ta'bir mimpi dll.

35- Cara memupuk akhlak bukan dengan berseorangan dalam bilik, tapi berakhlak dengan manusia lain.

36- Kadang2 dengan orang tu baik, dengan orang lain ini tak baik. Benda ni salah. Kita kena baik dengan semua orang tak kira siapa dia.

37- Baca buku yang bercerita pasal akhlak, kena berkawan dengan orang baik supaya kita jadi manusia berakhlak.

38- Syeikh Abu Hasan Ali An Nadwi sebut, di India kami ditekan oleh bukan Islam, tapi di negara Arab orang Islam sendiri yang menekan rakyatnya. Maksudnya orang Islam sendiri yang bermasalah.

39- Doktor perubatan Kuwait, Dr Abdul Rahman Humaid As-Sumait membina 5 ribu lebih buah masjid dan mengislamkan 11 juta orang Afrika. Beliau sangat berakhlak dan sangat yakin kepada Tuhan sehingga orang percaya apa yang beliau cakap.

40- Universiti Al Azhar mengajar kita meraikan semua pandangan. Kita kena belajar dulu mazhab kita sebelum belajar Fiqh Muqaran. Kita kena bersifat berlapang dada dalam bab Khilaf.

41- Imam al-Syafie belajar dengan Imam Malik dan Imam Ahmad bij Hanbal, tapi menghormati pandangan gurunya.

42- Cukuplah Imam Malik sebagai hujah aku di hadapan Allah. - Imam Syafie

43- Dalam bab berkhilaf, jangan bersikap tak beradab. Sebab mereka saudara Islam kita juga. 

44- Yunus Ibn Abdul A'la anak murid Imam Syafie pernah berkhilaf dengan Imam Syafie dalam muzakarah bersama, tapi anak muridnya itu terus tak datang kelas selepas itu. Datang Imam Syafie kepadanya "Aku bukan nak hakis dan mengurangkan darjat kamu, tapi 

45- Saidina Umar Abdul Aziz berkata mafhumnya untung kepada kita ulama berkhilaf, kalau tidak berat untuk mengikut satu pandangan sahaja.

46- Kalau nak Istiqamah kena doa. Kedua, kena ikut apa yang Nabi suruh. Ketiga, kena berkawan dengan orang Istiqamah. Keempat, banyak baca sejarah orang yang beristiqamah.

47- Wanita ni banyak peranan, Saidatina Aisyah juga digelar mufti wanita.

48- Jenayah terbesar ialah pembaziran masa. Dr sangat cemburu dengan orang yang relax tanpa isi masa. Ada seorang penulis menulis buku bertajuk "Hanya 10 minit". Kerana 10 minit itu jika dimanfaatkan contohnya baca buku boleh 10 muka surat. Al Quran juga boleh dihafal.

49- Ibnu Jauzi masuk dalam Maktabah, tidak salah dia katakan 20 ribu judul buku pernah dibaca. Apabila mengajar 20 ribu masuk Islam termasuk Yahudi dan Kristian.

50- Kita kena ada azam, kena banyak baca buku. 

51- Orang Korea membaca buku 3 buah seminggu. Setiap buku 100-400 mukasurat. Sebulan 12 buku. Contoh pada tahun 1999 Korea dilanda kegawatan ekonomi, tapi sekarang ekonomi mereka hebat. Itulah hebatnya masyarakat yang berilmu.

52- Dalami dan fahamilah ilmu sebelum dilantik menjadi pemimpin - Saidina Umar Al Khattab

53- Kerana apabila kita sudah dilantik menjadi pemimpin, sudah susah untuk kita mengaji lagi kerana sudah tiada masa.

54- Bukanlah pemuda yang hebat apabila menyebut keturunannya hebat, tapi hebat apabila dia rasakan siapa diri dia sebenar, bukan menumpang kehebatan orang lain.

55- Mengaji dulu, jangan fikir lagi untuk rancang minta nak bekerja macam2.

56- Sambunglah mengaji sampai setinggi-tinggi, jika ada atas lagi daripada PhD, kena mengaji lebih lagi daripada itu.

Selasa, 11 November 2014

Mari Membuat Kebaikan ( SARAWAK Ibu Pertiwiku ) =.=

Kembara SISWA Pendidik ke SARAWAK Bumi Kenyalang






1) Menceriakan Masjid Kampung Tambirat
2) Mewujudkan Perpustakaan Mini Di Masjid
3) Gotong-Royong di Pantai
4) Tahsin Al-Quran Masyarakat
5) Mari beramal dengan Warga Emas



Wakaf Buku dan Bantu Masyarakat =.=


Rabu, 15 Oktober 2014

PENGARUH PEMBANGUNAN SAHSIAH TERHADAP PERKEMBANGAN KAREKTOR DIRI SAYA SEBAGAI SEORANG GURU.

Secara umumnya saya sedari saya mengalami kemanisan nilai perubahan pada karektor diri saya. Saya berharap ianya adalah kemanisan nilai ilmu dan amalan atas hanya kerana Yang Maha Esa. Moga Allah s.w.t sentiasa mencurahkan hidayah dan nur ketakwaan kepada saya dalam setiap detik saat mengingatinya, Empat perkara utama yang saya dapat huraikan perubahan karektor diri adalah aspek kognitif, rohani, fizikal dan sosial dengan harapan ianya melibatkan corak tingkah laku bertatasusila dan operasi yang bersifat konsisten.
Secara terperinci pembentukan karektor diri saya merangkumi empat aspek berikut iaitu;

1. KOGNITIF.

1.1. Elemen yang diharapkan dapat saya elementasikan secara tulus adalah berfikir secara positif, mampu dan reda menangani stress, berusaha dan bertawakal dalam mengurus keperluan kerjaya, diri dan tanggungjawab kehidupan.

1.2. Semasa bertugas saya akan memastikan saya berkeupayaan menghuraikan pelajaran dengan jelas dan enguasai mata pelajaran dengan baik. Saya akan adil dalam pemarkahan serta berikhtiar menarik perhatian pelajar dalam proses p&p. Saya mula mengkaji pendekatan-pendekatan agar sentiasa menyampaikan arahan yang jelas dan spesifik.

1.3. Saya berharap karektor diri saya berkembang dengan tidak menyalahgunakan peraturan, luas pengetahuan am, sentiasa muhasabah diri dengan mengajar tidak lari atau terkeluar dari tajuk bila mengajar. Saya mula mengenal dan menjana titik kekuatan murid agar dapat dimurnikan dengan mengamalkan kaedah pengajaran yang berkesan.

1.4 Saya sedaya upaya mengamalkan tugas dan tanggungjawab terhadap penguasaan ilmu. Sebagai seorang guru muslim memastikan penguasaan ilmu takhassus secara mantap dan mendalam. Penimbaan ilmu ini akan dilakukan secara beriltizam dengan amanah ilmiah.

1.5 Saya semakin prihatin untuk mengamalkan dan mengembangkan ilmu yang dipelajari. Kini saya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terbaru dalam pengajaran ilmu yang berkaitan. Sebagai seorang guru Muslim saya mula melalui landasan atau dimensi spirituality Islam dalam pelbagai lapangan ilmu pengetahuan. Saya berharap akan celik keperluan bagi memanfaatkan ilmu untuk tujuan kemanusiaan, kesejahteraan dan keamanan umat manusia sejagat.

2. ROHANI.

2.1 Elemen rohani yang mula saya rasai adalah menjaga semulianya hubungan dengan Allah s.w.t. Saya mula melatih diri agar berjiwaan yang kental melalui kehidupan beramanah atas landasan tuntutan agama semata-mata. Saya juga bercita-cita memiliki prinsip kendiri yang mantap.

2.2 Saya berdoa dan berusaha untuk sentiasa berkelakuan baik (penyayang dan penyabar) pada semua makhluk ciptaan Allah swt. Saya cuba agar tidak berat sebelah dan sentisa berdisiplin. Sikap amanah dan menunaikan janji akan membina karektor yang dihormati. Jika situasi memerlukan saya akan mengkaji beberapa bentuk prosedur lebih awal agar berupaya membuat penghukuman yang betul. Nilai simpati terhadap kelemahan murid tidak akan saya lalaikan. Saya mula berazam mempunyai kemahuan yang kuat terhadap melakukan perkara baik sebagai perjuangan hidup seorang muslim.

2.3 Etika guru muslim terhadap Allah mula menjadi kajian untuk saya bentuk diri saya. Saya berusaha untuk memantapkan keyakinan/keimanan kepada Allah di samping mengukuhkan hubungannya yang berterusan denganNya. Sifat istiqamah, iltizam semangat berbakti dan beramal soleh saya usahakan agar menjadi amalan harian. Saya dapat rasakan perlunya menghayati rasa khusyuk, takut dan harap kepada Allah. Keprihatin mula membara untuk sentiasa mengagungkan syiar agama Islam dan berusaha ke arah mendaulatkan syariat Islam. Saya redha melaksanakan kewajiban agama, menghindari laranganNya dan menyempurnakan segala hak dan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. Juga tidak lupa akan rasa bersyukur kepada Allah di samping selalu berdoa kepadaNya dengan membaca kalam Allah dan merendahkan diri ke hadratNya.

3. FIZIKAL

3.1 Antara sifat fizikal yang mula membentuk karektor diri dan perlu untuk saya tampilkan adalah mempamerkan tingkah laku seorang muslim sejati, penampilan kendiri yang sederhana serta mengamalkan pengurusan kendiri yang tulus dan tidak memudaratkan.

3.2 Semasa saya bertugas saya akan mengelakkan dari berlakunya suara yang tidak baik(serak-serak basah) atau yang tidak bersesuaian. Saya mencari langkah tertentu agar boleh mengendalikan pengurusan diri secara berkala. Saya semakin mementingkan kebersihan, kesihatan dan sentiasa memastikan pengudaraan bilik darjah yang baik. Semangat riadah atau kesukanan yang kini mula pudar akan saya wujudkan ruang masa agar dapat diluangkan dengan keluarga tersayang.

3.3 Sayajuga mula prihatin terhadap kebersihan diri, pakaian, perawakan dan tempat tinggal untuk diri dan untuk ahli keluarga. Saya mengambil peluang untuk beri keutamaan menjaga adap-adap yang lebih semasa melakukan ibadah solat dan semasa musafir ke rumah Allah swt.

4 SOSIAL

4.1 Sikap sosial adalah merupakan faktor yang paling terlihat secara terus dalam urusan kehidupan harian saya. Antaranya perkembangan karektor yang terlibat adalah keinginan berinteraksi dan berkomunikasi secara bertatasusila, saya mula mengamalkan sikap berlapang dada terhadap elemen berkaitan penerimaan terhadap orang lain. Kini saya mengutamakan situasi menang-menag dalam persediaan untuk memberi dan menerima pendapat.
4.2 Antara karektor yang saya impikan terbina dalam diri adalah adanya kesantunan unsur humor dalam tutur kata. Budaya suka menolong pelajar di luar kelas serta fahami masalah pelajar akan saya ikhtiarkan. Saya sentiasa berhati-hati dan memohon pertunjuk Allah agar boleh membezakan antara intan dan kaca dalam memberikan kerjasama dan penglibatan diri. Saya akan mengelakkan diri dari bersubahat atau terperdaya.

4.3 Diri mula mempunyai azam yang kuat agar mempunyai bakat kepimpinan yang murni dan mulia. Saya akan mengelakkan amalan suka menghina murid atas kesalahan mereka tetapi lebih kepada membina penambahbaikan dalam diri mereka. Saya sentiasa berfikir sejenak agar pandai memilih kata-kata yang hikmah dan sejuk dada mendengarnya. Saya berusaha untuk memberi ruang para pelajar menelaah dan mengulangkaji setelah mengambil kira suasana mereka di rumah.

Rumusan.

Pembentukan sahsiah yang unggul akan membentuk generasi guru berkualiti bagi menghasilkan pendidikan bertaraf dunia. Pembentukan sahsiah penting kerana guru adalah agen yang bertindak secara langsuang sebagai penyebar ilmu yang mampu berfikir secara kreatif dan kritis serta memperkembangkan potensi pelajar dalam semua aspek JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial).

Guru juga bertindak sebagai pembentukan nilai / role model yang harus membentuk murid-murid untuk memiliki akhlak yang mulia dan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi bagi menghayati ilmu dengan bermakna dan membawa penyuburan serta semangat kepada jiwa manusia.

Guru merupakan tenaga ikhtisas yang mempunyai kemahiran profesional serta kecerdasan emosi yang tinggi memainkan peranan besar dalam menghasilkan generasi yang berpendidikan, berkemahiran, berbudaya ilmu dan berakhlak serta berkemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif.

Guru perlu bersifat profesional dan peka dengan segala perkembangan pendidikaan juga sentiasa mengikuti perkembangan terhadap kajian-kajian lampau dan terkini bagi mengemaskinikan pengetahuan dan kemahiran p&p guru.

Pembentukan sahsiah akan menjadikan guru lebih cnderung sebagai pengajar efektif yang sentiasa mengenalpasti ciri-ciri pengajaran efektif sebagai egen segi perancangan, pelaksanaan, dan penilaian pengajaran yang optimun.

Ahad, 13 Julai 2014

Kita Semua dan Ramadhan part 4

Persoalan mengenai Fiqh Ramadhan oleh S.S Ustaz Dr Zulfkifli Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan.


Berkata Imam al-Zahabi, “Di sisi semua orang Islam telah mengakui dan mengiyakan bahawa sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan mereka mengesyaki keIslaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.”

1. Sesuatu Gas atau Seumpamanya yang Dimasukkan Melalui Hidung
1. Menggunakan oksigen buatan bagi yang terbang ke angkasa, tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi.
2. Merokok membatalkan puasa, seperti pendapat jumhur ulama kerana mereka yang ketagih rokok didapati pada hatinya atau paru-parunya kesan dari rokok. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi. Mengikut pendapat Syeikh Hasanain Makhluf dalam Fatawa Syar’iyah, hukumnya batal puasa dan hendaklah dia qadha’ serta dikenakan kaffarah mengikut pendapat yang asah. Inilah yang dinukilkan daripada al-Allamah Ibn Abidin dan juga al-Allamah al-Syarambalali dalam kitabnya, Imdad al-Fattah.
3. Terhidu asap bagi mereka yang bekerja di sebahagian kilang, tidaklah batal puasanya kerana termasuk di dalam umum balwa (sukar untuk mengelakkannya), seperti pendapat Syeikh al-Syarbasi.
4. Mencium bau-bauan dan minyak atar pada siang hari Ramadhan termasuk menggunakan bukhur atau kemenyan. Hukumnya jika sampai kesan kepada halkumnya, maka batal puasanya dan wajib qadha’, sebagaimana kaedah dalam Mazhab Maliki. Sedangkan sebahagian ulama menganggap masalah ini sebagai Umum Balwa yang dimaafkan. Inilah pendapat yang sahih, seperti dalam buku Su’alat al-So’imin.
2. Isu Hadiah Pahala Puasa
1. Menghadiahkan pahala puasa kepada si mati adalah harus dan sampai insya-Allah, seperti fatwa Ibn Jabrin.
2. Puasa bagi orang yang berada di dua kutub utara atau selatan, di mana panjangnya siang hari atau malam hari sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Cara berbukanya adalah dengan melihat kepada waktu di Makkah atau Madinah. Sebahagian yang lain berpendapat, dengan melihat negeri yang berdekatan di mana waktu-waktunya adalah stabil. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi.
3. Qadha’ atau Fidyah Puasa
1. Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqadha’ puasanya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan kebiasaan penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut mengikut bilangan tahun yang dilangkauinya. Secupak bersamaan seraup atau 1 1/3 kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram.
2. Kalau orang yang wajib membayar fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, terhapus kewajipan membayar fidyah, seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat ini yang disokong oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam kitabnya, Tuhfah. Namun, menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib al-Syarbini, tidak terhapus kewajipan membayar fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang.
3. Orang yang sakit berterusan hingga masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib mengqadha’ puasanya sahaja tanpa membayar fidyah.
4. Orang yang meninggal dunia sebelum mampu mengqadha’ puasanya, tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti disebabkan bukan kecuaiannya.
5. Sementara orang yang meninggal dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia telah mampu melakukannya, walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal. Yang dimaksudkan dengan wali berpuasa untuk si mati bagi puasa yang ditinggalkannya ialah kaum kerabat atau waris si mati sama ada yang berhak menerima pusaka atau tidak. Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi yang terpilih dalam Tashih al-Tanbih.
6. Mengikut pendapat al-Syafie pada qaul yang baru, wajib mengambil harta daripada tarikahnya (pusaka) dengan setiap hari secupak daripada makanan asasi dan tidak sah puasa oleh walinya. Ini juga pendapat kebanyakan ulama, ahli hadis, Abi Thaur dan al-Auza’ie.
7. Sah puasa bagi pihak si mati oleh orang yang bukan daripada kalangan keluarganya apabila diizinkan oleh seorang daripada ahli keluarga tersebut. Sebaliknya, jika tidak diizinkan oleh ahli keluarga si mati atau tanpa wasiatnya, puasa tersebut tidak sah.
8. Jika tiada sesiapa yang menggantikan puasanya, hendaklah disedekahkan makanan bagi pihaknya sehari secupak yang wajib diambil daripada harta peninggalannya, sebagaimana penyelesaian hutang.
9. Orang yang sangat tua dan tidak berupaya berpuasa, wajib bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa dan tidak wajib ke atasnya dan ahli keluarganya selain daripada itu.
10. Begitu juga kepada orang sakit, yang tiada harapan untuk sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa, sebagaimana orang tua yang tidak terdaya berpuasa tersebut.
11. Perempuan yang mengandung dan yang menyusui bayi, berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau kesihatan bayinya. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan dirinya, maka dia wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
12. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan kandungan, iaitu perempuan yang mengandung bimbang akan keguguran ataupun ibu yang menyusukan bayinya, bimbang akan susunya berkurangan dan menjejaskan kesihatan bayi tersebut, wajib mengqadha’ puasanya dan membayar fidyah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang mereka tidak berpuasa.
13. Begitu jugalah sesiapa yang berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam bahaya, maka dia wajib qadha’ puasanya dan memberi sedekah tersebut.
14. Qadha’ Ramadhan tidaklah wajib disegerakan, tetapi waktunya sebelum menjelangnya Ramadhan yang berikut. Ini kerana Sayidatina Aisyah R.Anha mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban.
15. Orang yang mati dan masih menanggung qadha’ puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya mengikut pendapat yang terpilih di sisi Syafieyyah. Inilah pendapat Imam al-Nawawi berdasarkan kepada ahli Tahqiq. Walaupun begitu, boleh diberi makan kepada orang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi negeri tersebut.
16. Adakah harus bersedekah untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan kerana sakit? Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata: Pada pendapat kami, sakit itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sakit sementara yang ada harapan untuk sembuh. Hukumnya tidak harus membayar fidyah atau bersedekah. Ia wajib diqadha’ sahaja.
Kedua: Sakit yang lama dan tidak ada harapan untuk sembuh. Hukumnya seperti hukum ke atas lelaki dan wanita tua. Penyakit ini hendaklah disahkan oleh doktor yang pakar atau melalui pemeriksaan. Ia dikenakan fidyah. Mengikut sesetengah imam, seperti Abu Hanifah, harus kita membayar fidyah dengan duit kepada fakir miskin dan orang-orang yang memerlukannya.
17. Orang yang haidh dan nifas, haram dan tidak boleh berpuasa dan hendaklah baginya berbuka dan qadha’ pada hari yang mereka uzur itu.
18. Qadha’ puasa Ramadhan adalah wajib kecuali bagi yang tua dan sakit, yang tiada harapan sembuh, maka hendaklah diberi makan bagi setiap hari yang ditinggalkannya secupak makanan kepada orang miskin.
19. Petani tidak harus berbuka di siang hari dengan sebab pekerjaannya kecuali adanya syarat-syarat yang ketat, seperti kata Syeikh Ba Alawi.
20. Musafir yang mengharuskan untuk berbuka puasa ialah jarak yang melebihi 89 kilometer dan musafir tersebut sebelum terbitnya fajar, tetapi Mazhab Hanbali mengharuskan berbuka bagi yang musafir walaupun di siang hari. Mengikut Mazhab Syafie, menambah syarat yang lain orang yang musafir tersebut bukan sentiasa dalam perjalanan, seperti pemandu kecuali membawa kepada masyaqqah.
21. Mati membatalkan puasa dan hendaklah diberi makan atau diberi ganti oleh warisnya bagi puasa nazar dan kifarah sahaja.
22. Tafsiran hadis Nabi berkenaan dengan ikatan syaitan pada bulan Ramadhan ialah melemahkan kecergasannya berbanding dengan bulan yang lain. Syeikh Atiyah Saqr berkata: Walaupun begitu, di sana ada faktor lain yang mendorong ke arah dosa. Antaranya nafsu syahwat, begitu juga dengan perangai dan akhlak buruk yang sudah menjadi sebati pada diri seseorang.
4. Perselisihan Matla’ dan Negeri dalam Puasa
1. Seseorang yang berpuasa awal di sesebuah negeri, kemudian berada di negeri yang lain yang berpuasa akhir, menyebabkan rayanya juga lewat sehari, menjadikannya berpuasa 31 hari. Afdhal baginya, berpuasa dan sebahagian ulama menyatakan, boleh berbuka kerana takwim Islam hanya 29 hari atau 30 hari sahaja bagi sebulan.
2. Jika sekiranya seorang berpuasa lewat sehari daripada negeri yang dia musafir, seperti Malaysia dan menuju ke Makkah dan kemudian beraya di sana, yang mana rayanya cepat sehari menjadikan hanya beliau berpuasa 28 hari. Syeikh Atiyah Saqr berpendapat, boleh berbuka dan raya pada hari tersebut, tetapi hendaklah menggantikan hari yang lain bagi mencukupkan 29 hari.
5. Isu Perubatan dan Puasa
1. Mengambil pil penahan haid kerana ingin berpuasa penuh pada bulan Ramadhan adalah dibolehkan, tetapi afdhal jangan mengambilnya dan kekal mengikut takdir Allah kepada wanita. Inilah pendapat Syeikh Uthaimin. Pendapat ini juga sama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang berkata: Pada pendapat saya, sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi’ie dan tidak dapat dielakkan. Ia datang daipada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat untuk melewatkan haidh agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadhan, hukumnya tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudharatkan dirinya. Mereka boleh meminta nasihat orang-orang alim dan pakar, atau nasihat doktor mengenai ubat itu. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan puasa dan akan diterima Allah, insya-Allah.
2. Orang yang sakit buah pinggang, yang dinasihatkan berbuka oleh pakar boleh berbuka dan tidak perlu qadha’, sebaliknya diberi makan kepada orang miskin setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak (lebih kurang 650g), tetapi jika sekiranya penyakitnya hilang atau sembuh, maka hendaklah diqadha’kannya, seperti fatwa Ibn Jabrin.
3. Dalam Mazhab Maliki, suntikan ke dalam saluran kencing lelaki, hukumnya tidaklah merosakkan puasa.
4. Ambil darah yang sedikit tidaklah membatalkan puasa, seperti untuk menderma kepada yang memerlukan. Inilah pendapat Syeikh Uthaimin.
5. Hukum menukar atau mencuci darah bagi pesakit buah pinggang dalam keadaan puasa adalah batal puasanya, seperti fatwa Syeikh Bin Baz.
6. Hukum menggunakan inhaler di siang hari pada pesakit asma adalah dibolehkan kerana gas tersebut tidak sampai ke dalam perut, tetapi sekadar untuk pernafasan. Inilah pendapat Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Bin Baz, dalam perbincangan feqah berkenaan hal-hal perubatan dan rawatan kali ke-9. Begitu juga dengan pendapat Syeikh Uthaimin dan juga Syeikh Ibn Jabrin.
7. Meletakkan minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit, sekalipun yang berpuasa merasainya pada halkumnya, tidaklah batal puasanya. Inilah fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Hasanain Makhluf.
8. Mencabut gigi di siang hari bagi yang berpuasa, tidaklah batal puasanya, seperti pendapat Syeikh Uthaimin. Ini juga pendapat Mazhab Hanafi dan lainnya.
9. Berbekam pada siang hari pada bulan Ramadhan menjadi khilaf. Yang masyhur di kalangan ramai sahabat tabiin bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi Waqas melakukan bekam. Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam, Ummu Alqamah dan lain-lain. Kecuali Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap hukumnya makruh jika melemahkannya daripada menunaikan puasa. Mazhab Hanbali dan sebahagian Ahli Hadis menganggap berbekam hukumnya batal puasa. Manakala Ata’ berpendapat, wajib kifarah. Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal. 65-66).
10. Dr. Yusuf al-Qardhawi menyebut bahawa Ibn Hazam berkata: “Menggunakan suntikan atau ubat yang disedutkan ke dalam hidung, menitiskan ubat ke dalam telinga, saluran kencing, ataupun memasukkan air ke dalam hidung dan sampai ke kerongkong tidak mencacatkan puasa. Begitu juga dengan berkumur-kumur hingga tertelan tanpa sengaja. Juga tidak cacat puasa dengan sebab bercelak. Tepung, debu, inai, minyak wangi, peria, lalat dan ubat daripada tumbuh-tumbuhan atau seumpamanya juga tidak membatalkan puasa.”
11.Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Puasa tidak terjejas dan batal dengan resapan minyak ke bahagian dalam tubuh melalui lubang roma pada tubuh.”
12. Ibn Hazam berhujah dengan katanya: “Sesungguhnya apa yang ditegah Allah ialah makan, minum, bersetubuh, muntah dengan sengaja dan melakukan maksiat. Kami tidak tahu makan dan minum macam mana yang melalui dubur, saluran kencing, telinga, mata, hidung atau tempat luka di perut atau di kepala. Kami tidak ditegah daripada perkara yang sampai ke perut, selain makan dan minum, selagi mana tidak haram ke atas kami untuk menyampaikannya.”
13. Menderma darah tidaklah batal puasa. Adapun yang menerima darah dianggap sama seperti inject dan yang masyhur, tidaklah batal kerana perubatan tersebut, seperti kata Syeikh Atiyah Saqr.
14. Suntikan yang mengandungi bahan makanan, seperti glukos pada siang hari di bulan Ramadhan membatalkan puasa kerana dianggap makanan pada uruf yang boleh mengenyangkannya, seperti makanan biasa. Inilah fatwa Syeikh Atiyah Saqr.
15. Darah yang keluar daripada wanita yang hamil apabila digugurkan janin, ia terbahagi kepada dua keadaan. Jika janin sudah nyata seperti manusia, maka darah tersebut dianggap sebagai nifas. Justeru, wanita tersebut tidak boleh berpuasa dan solat. Sebaliknya, jika hanya seperti segumpal darah atau daging yang belum nyata sifat manusia, maka hukumnya bukan darah nifas dan hendaklah dia berpuasa. Lihat Fatawa Ramadhan (1/358).
16. Orang yang gila atau sakit jiwa yang membawa kepada pengsan dan seumpamanya, memerlukan penggunaan pil kecil yang diletakkan di bawah lidahnya hingga menjadi tenang. Dalam hal ini, sebahagian ulama menganggap hukumnya tidak batal puasa kerana ia bukan bersifat makanan dan mengenyangkan, tetapi ubat yang tidak sekali-kali menghilangkan lapar dan dahaga. Hal ini diharuskan. Lihat Su’alat al-So’imin (hal. 73).
6. Persetubuhan dan Mukadimah Jima’
1. Bersetubuh membatalkan puasa, tetapi sekiranya terlupa, maka tidaklah batal, seperti diqiaskan kepada makan dan minum.
2. Air mani yang keluar dengan sengaja, seperti perbuatan bercumbu adalah batal puasanya. Begitu juga dengan cara istimna’.
3. Bersetubuh di siang hari pada bulan Ramadhan, sedangkan dia di dalam keadaan bermusafir, tidaklah dikenakan kafarah ke atasnya. Inilah pendapat Syeikh Ibn Jabrin.
4. Air mani yang keluar dengan tidak disengajakan, tidaklah batal puasanya. Begitu juga jika seseorang bermimpi sehingga keluar mani pada siang hari, hukumnya tidak membatalkan puasa menurut ijma’ fuqaha.
5. Makruh secara tahrim bercumbu dalam bulan Ramadhan dengan isterinya pada siang hari bagi orang yang syahwatnya bergelora sama ada lelaki atau perempuan. Inilah pendapat Mazhab Hanafi dan Syafie. Walaupun begitu, Ibn Munzir berkata: “Telah memberi rukhsah (pada bercumbu) oleh Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah,’ Aisyah, Ata’, Sya’bi, al-Hasan, Ahmad dan Ishak.”
6. Sengaja membatalkan puasa Ramadhan dengan melakukan persetubuhan, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya berpuasa, mengetahui perbuatannya itu adalah haram dan bukan dalam bermusafir yang diberikan keringanan, adalah wajib kaffarah.
7. Kaffarah hanya wajib ke atas suami yang melakukan persetubuhan. Kaffarah tidak wajib ke atas isteri atau perempuan yang disetubuhi, sekalipun mereka berpuasa.
8. Siapa yang bersetubuh di siang hari dengan sengaja pada bulan Ramadhan dan belum membayar kaffarah, kemudian bersetubuh pada hari yang lain, hukumnya dibayar satu kaffarah sahaja mengikut riwayat Hanafi dan Ahmad. Dalam Mazhab Syafie dan Malik serta satu riwayat daripada Ahmad, hendaklah dibayar dengan dua kaffarah kerana setiap hari adalah ibadat yang berasingan.
9. Bersetubuh pada hari yang sama di bulan Ramadhan dua kali dan belum menyelesaikan yang pertama kaffarahnya, maka ke atasnya satu kaffarah sahaja dengan ijma’.
10. Apabila seorang gila bersetubuh dengan isterinya pada siang hari, maka terbatallah puasa isterinya dan wajib ke atas isterinya kaffarah, tidak ke atas suaminya kerana termasuk dalam uzur syar’ie, dengan sebab gila. Inilah pendapat al-Imrani dalam al-Bayan.
11. Apabila seseorang bersetubuh dengan isterinya pada siang hari ketika qadha’ puasa Ramadhan, tidaklah wajib ke atasnya kaffarah. Inilah pendapat al-Imrani dalam al-Bayan. Sedangkan kata Qatadah ialah wajib ke atasnya kaffarah.
12. Melakukan liwat adalah membatalkan puasa. Begitu juga jika seseorang itu mendatangi binatang sama ada pada qubul mahupun duburnya, sebagaimana yang disebut di dalam Ahkam al-Siyam.
13. Bersetubuh dengan isteri ketika musafir di siang hari pada bulan Ramadhan, seperti yang disebut dalam Fatawa Ramadhan (1/315). Hukumnya harus dia tidak puasa pada hari tersebut dan boleh bersetubuh, makan dan minum kerana orang musafir tidak wajib berpuasa. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.
(Surah al-Baqarah: 184)
7. Masalah Muntah
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa. Sebaliknya, seseorang yang termuntah tidaklah batal puasa berdasarkan hadis riwayat Abu Hurairah daripada Abu Daud dan al-Tirmizi.
8. Memasukkan Sesuatu ke dalam Rongga
1. Menggunakan titisan seperti eye-mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi.
2. Suntikan melalui dubur adalah membatalkan puasa kerana ia merupakan ruang yang terbuka.
3. Suntikan melalui urat pula tidaklah membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Azhar pada tahun 1948, apa-apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka, tidaklah batal puasa.
4. Apabila seseorang mencurahkan air ke dalam telinganya dan sampai ke otaknya, nescaya batallah puasanya, sebagaimana yang dinyatakan di dalam Ahkam al-Siyam.
5. Ijmak ulama masa kini bahawa suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal puasa, seperti dinukilkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh al-Siyam, (hal. 100). Hal ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Azhar Mahmud Shaltut, Syeikh Muhammad Salamah Jabr dan Syeikh Ali Tantawi. Ini berbetulan dengan kalam Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut: “Jika dimasukkan ubat ke dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat tersebut kepada otak, nescaya tidak batal puasa tanpa khilaf kerana ia tidak termasuk dalam anggota rongga terbuka.”
6. Berkenaan suntikan sebagai ganti makanan yang memberi tenaga, hukumnya tidak disepakati oleh ulama masa kini. Ada yang berpendapat batal puasanya kerana dianggap sebagai makan dan minum. Antara yang mentarjihkan pendapat ini ialah Syeikh Muhammad al-Syaibani dalam bukunya, Tabyin al-Masalik (2/158).
7. Puasa tidak batal jika agas, lalat atau debu jalan masuk ke dalam rongga kerana umum balwa (sukar untuk mengelakkannya).
8. Air kumur-kumur atau yang dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga tidaklah membatalkan puasa jika sekiranya perbuatan tersebut dilakukan secara tidak berlebih-lebihan.
9. Sisa-sisa makanan di celah-celah gigi yang tertelan bersama air liur tidak membatalkan puasa sekiranya susah untuk membezakan dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya. Hal ini jika sekiranya sedikit. Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan banyak, maka ia membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab Maliki, Syafie, Hanbali, Abu Yusuf dan Zufar.
10. Lelaki atau perempuan yang terkena penyakit buasir terpaksa menolaknya dengan menggunakan jari ketika qadha’ hajat adalah batal puasanya mengikut nas Hanafi. Syeikh Hasanain Makhluf menambah, ia termasuk dalam golongan yang uzur, yang mengharuskan berbuka dan hendaklah qadha’ selepas sembuh penyakit. Walaupun begitu, al-Baghawi dan al-Hawarizmi berpendapat, tidak batal puasa dan inilah yang dipegang oleh al-Azraie.
11. Merasa makanan adalah dibolehkan yang dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut pendapat yang terpilih. Ibn Abbas berkata: “Tidak mengapa merasa makanan seperti cuka dan sesuatu yang mahu dibelinya.”
12. Menelan balgham atau sejenis kahak bagi yang tua dan menyukarkan untuk meludahnya adalah sah puasanya, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini juga pendapat Mazhab al-Syafie dan Imam Ahmad pada satu riwayat.
13. Menelan air liur yang biasa pada adatnya tidaklah batal puasa kerana sukar mengawasinya, dengan syarat tidak bercampur dengan darah atau sisa-sisa makanan dalam kuantiti yang banyak. Begitu juga tidak dihimpun air liur, kemudian menelannya. Jika seseorang itu menelan air liur orang lain, seperti mengucup isterinya atau menghisap lidahnya, maka hukumnya ialah batal puasa.
9. Niat
1. Niat puasa Ramadhan tidak sah kecuali pada waktu malam (sebelum masuk Subuh) sahaja. Dalam mazhab Syafie, niat puasa hendaklah pada setiap malam, tetapi boleh diihtiyat (untuk berhati-hati) dengan bertaqlid dengan mazhab Maliki, yang memadai berniat di awal Ramadhan sahaja (berniat sebulan).
2. Puasa sunat boleh diniatkan pada siang hari sebelum matahari tergelincir, berdasarkan hadis Aisyah R.Anha, seperti riwayat al-Daraqutni.
3. Seseorang yang sedang berpuasa, berniat untuk berbuka, maka batallah puasanya sekalipun beliau tidak berbuka. Ini kerana niat merupakan satu rukun dari rukun puasa. Inilah pendapat Sayid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah. Inilah pendapat yang rajih di sisi Mazhab al-Syafie dan Hanbali.
4. Tidak memadai niat puasa Ramadhan dengan hanya berniat “aku puasa esok hari” sahaja, tetapi mestilah menyebut bulan Ramadhan. Ini kerana ia merupakan ibadat yang disandarkan kepada waktu. Justeru, wajib ta’yinkannya. Tetapi pendapat yang muktamad ialah tidak wajib disertakan niat perkataan fardhu kerana puasa Ramadhan itu sendiri daripada mukallaf yang semestinya fardhu. Inilah pendapat Syeikh Ba'Alawi dalam Bughyah al-Mustarsyidin.
5. Sah niat puasa dalam hati walaupun ketika dalam solat, sebagaimana di dalam kitab al-Majmu’. Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Dengannya, diketahui bahawa sah niat i’tikaf dalam solat.”
10. Berkenaan Terlupa atau Dipaksa
1. Makan dan minum dengan sebab terlupa pada siang hari di bulan Ramadhan tidak batal puasa kerana Allah memberinya makan dan minum seperti riwayat Abu Hurairah daripada al-Bukhari dan Muslim.
2. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami menukilkan pendapat Abu Bakar al-Ajiri: Orang yang bekerja berat ialah orang yang mempunyai pekerjaan yang berat. Jika dia bimbang berlaku kebinasaan dengan sebab puasa, maka dia boleh berbuka dan melakukan qadha’ jika seandainya pekerjaan tersebut mendatangkan kemudharatan sekiranya ditinggalkan. Jika meninggalkan pekerjaan itu tidak membawa sebarang kemudaratan, dia berdosa kerana berbuka. Jumhur fuqaha menetapkan bahawa wajib ke atas pekerja yang melakukan kerja berat bersahur dan juga berniat puasa. Jika berlaku sebarang keuzuran atau lapar yang amat sangat dan dibimbangi berlaku kemudharatan, harus baginya berbuka puasa dan melakukan qadha’. Jika sekiranya kemudharatan pasti berlaku dengan sebab puasa, maka wajib ke atasnya berbuka, seiring dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
(Surah al-Nisa’: 29)
3. Puasa seseorang yang makan atau minum kerana dipaksa tidak batal disebabkan kemahuannya terhalang ketika itu.
4. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: “Ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa seorang yang diperlukan oleh orang lain bagi menyelamatkan seseorang anak Adam yang tidak berdosa daripada kebinasaan, seperti lemas dan sebagainya, maka ia wajib membatalkan puasanya dan tidak perlu membayar fidyah. Dalam keadaan dia berupaya tanpa berbuka puasa, haram baginya berbuat demikian. Jika sekiranya air termasuk ke dalam halkumnya, ia tidak membatalkan.”
5. Jika sekiranya seseorang menjangka fajar belum terbit lagi dengan makan atau minum, sedangkan ternyata sangkaannya itu salah, maka batallah puasanya. Walaupun begitu, hendaklah ia meneruskan imsa’ sepanjang hari tersebut kerana menghormati Ramadhan.
6. Ibn Qudamah menyebut di dalam kitabnya al-Mughni: “Bahawa sesiapa yang makan disangka fajar masih lagi belum terbit, tetapi sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan sangkaan matahari sudah terbenam, sedangkan belum lagi, maka puasanya batal dan hendaklah diqadha’. Inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu.”
7. Tidak batal puasa dengan masuk sesuatu ke dalam rongga dengan sebab lupa atau dipaksa, atau jahil, yang diuzur dengannya oleh syarak.
8. Jika seseorang yang sedang berpuasa menguap dalam keadaan mendongak kepalanya ke langit, tiba-tiba masuk air hujan ke halkumnya, atau air yang jatuh daripada sutuh rumah yang masuk ke dalam mulutnya, maka hukumnya membatalkan puasa kerana dia mampu untuk mengelaknya.
9. Seorang yang sedang berpuasa melalui majlis orang sedang musafir sedang makan dan makan bersamanya, sedangkan dia lupa. Mengikut Mazhab Maliki, hukumnya batal puasa dan wajib qadha’. Ibn Rusyd berkata: “Mewajibkan qadha’ dengan qiyas tersebut adalah lemah, tetapi qadha’ wajib kerana perkara yang baru dengan sebab makan.” Sedangkan jumhur ulama menganggap puasa ini sah tanpa perlu qadha’ berdasarkan nas.
10. Jika dipaksa yang sedang berpuasa untuk berbuka atau dimasukkan makanan ke dalam halkum tanpa pilihannya atau dipaksa isteri untuk bersetubuh, maka dalam hal ini, ada dua pendapat. Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali yang masyhur, hukumnya batal puasa, sedangkan di sisi Mazhab al-Syafie dan Ahmad ialah tidak membatalkan puasa bagi mereka yang kena paksa.