Rabu, 29 Mei 2013

Apa itu Hadith Maudhu' (Palsu)?

Istilah Hadith Maudhu’ adalah berasal daripada dua perkataan di dalam bahasa Arab iaitu perkataan al-Hadith dan perkataan al-Maudhu’. Al-Hadith dari segi bahasa mempunyai beberapa pengertian seperti al-hadith dengan erti baharu (al-jadid) dan al-hadith dengan erti cerita (al-khabar).[1]
         
Dari sudut pengertian syarak pula hadith membawa erti setiap apa yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad s.a.w sama ada perkataan, perbuatan, taqrir, sifat akhlaq dan sifat semulajadi. Pengertian ini sama dengan pengertian yang dibuat oleh ulama hadith terhadap al-Khabar dan al-Athar.[2] Sebahagian ulama hadith pula mendefinisikan al-Hadith sama erti dengan al-Sunnah.[3] Hal ini boleh dilihat dengan apa yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani yang mengatakan keempat-empat perkataan ini membawa maksud yang sama (walaupun tidak dipersepakati oleh semua ulama’). Walaubagaimanapun, beliau menambah dalam definisi beliau “sesuatu yang disandarkan kepada Nabi atau sahabat atau tabiin.....”.[4]

Manakala, perkataan al-Maudhu’ pula, dari sudut bahasa berasal daripada perkataan wadha’a – yadha’u – wadh’an wa maudhu’an – yang mengandungi beberapa pengertian antaranya telah menggugurkan, menghinakan, mengurangkan, melahirkan, merendahkan, mencipta, menanggalkan, menurunkan dan lain-lain lagi.[5]  Walaubagaimanapun, erti yang paling sesuai untuk dipadankan dengan perkataan al-Hadith bagi menghasilkan makna yang dikehendaki di dalam perbincangan Hadith ialah makna ‘telah mencipta’. Oleh itu Maudhu’ (di atas neraca isim maf’ul – benda yang kena buat) akan membawa erti dicipta atau direka.

Oleh itu, berdasarkan pengertian al-Hadith dan al-Maudhu’ ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa definisi Hadith Maudhu’ adalah sesuatu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada perbuatannya, perkataannya, taqrirnya, sifat akhlaqnya atau sifat semulajadinya, secara rekaan atau dusta semata-mata. Di dalam penggunaan masyarakat Islam di negara kita, hadith maudhu’ disebut juga dengan nama hadith palsu.

Di dalam definisi yang lebih tepat lagi ulama hadith mendefinisikannya sebagai apa-apa yang tidak pernah keluar daripada Nabi s.a.w sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan atau taqrir, tetapi disandarkan kepada baginda s.a.w sama ada secara sengaja atau tersalah, jahil atau memperdaya.[6]

Penulis juga berpendapat bahawa termasuk juga dalam kategori hadith maudhu’ ialah dakwaan-dakwaan sesetengah golongan tariqat bahawa silsilah tariqat mereka adalah daripada Nabi Muhammad s.a.w padahal perkara tersebut tidak dapat mereka buktikan walaupun berdasarkan hadith-hadith daif. Maka, ini juga boleh digolongkan sebagai hadith maudhu’. Ini berdasarkan definisi hadith maudhu’ yang lain di mana setengah ulama hadith mendefinisikannya sebagai pembohongan yang dicipta dan disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.[7]

Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain seperti dakwaan keturunan Nabi Muhammad s.a.w, dakwaan berjumpa Nabi Muhammad s.a.w di dalam mimpi atau jaga dan sebagainya, yang mana dikaitkan dengan diri Nabi s.a.w secara dusta, semua ini –mengikut pendapat penulis- boleh dikategorikan sebagai hadith maudhu’.

Menamakan hadith yang palsu itu dengan perkataan hadith adalah tidak menjadi suatu kesalahan kerana beberapa sebab. Antaranya ialah kerana mengambil kira kepada maksudnya dari sudut bahasa. Ia juga berdasarkan kepada semata-mata dakwaan pereka hadith tersebut dan keadaan hadith tersebut sebelum ia didedahkan kepada umum bahawa ianya adalah palsu. Oleh itu, mengikut istilah sebenar, hadith maudhu’ bukanlah boleh dikelaskan dalam mana-mana kategori hadith walaupun hadith yang dhaif.[8]



[1] Ijaj al-Khatib, Usul al-Hadith ‘Ulumuhu wa Mustalahuhu, h. 26-27
[2] Al-Syaikh Jamaluddin al-Qasimi, Qawaid al-Tahdith, h. 61
[3] Abdul Fatah Abu Ghuddah, Lamhat Min Tarikh al-Sunnah wa ‘Ulum al-Hadith, h. 27
[4] Ahmad bin Hajar al-Asqalani, Syarh Nukhbah al-Fikar, h.  ن .
[5] Al-Duktur Ibrahim Anis, et. al, al-Mu’jam al-Wasit, h. 1039
[6] Abdul Fatah Abu Ghudah, op. cit,h. 41
[7] Mahmud al-Tahhan, Taisir Mustalah Hadith, h. 89
[8]  Ibid, h. 89; Abdul Fatah Abu Ghudah, op.cit, h. 41

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima Kasih