Persoalan mengenai Fiqh Ramadhan oleh S.S Ustaz Dr Zulfkifli Al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan.
Berkata Imam al-Zahabi, “Di sisi
semua orang Islam telah mengakui dan mengiyakan bahawa sesiapa yang
meninggalkan puasa Ramadhan pada siang harinya tanpa sebarang keuzuran
sebenarnya orang tersebut lebih jahat daripada penzina dan peminum arak, bahkan
mereka mengesyaki keIslaman orang yang tidak berpuasa dan menyangka dengan
kafir zindiq, dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar.”
1. Sesuatu Gas atau
Seumpamanya yang Dimasukkan Melalui Hidung
1. Menggunakan oksigen buatan bagi
yang terbang ke angkasa, tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh
al-Syarbasi.
2. Merokok membatalkan puasa, seperti
pendapat jumhur ulama kerana mereka yang ketagih rokok didapati pada hatinya
atau paru-parunya kesan dari rokok. Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi.
Mengikut pendapat Syeikh Hasanain Makhluf dalam Fatawa Syar’iyah, hukumnya
batal puasa dan hendaklah dia qadha’ serta dikenakan kaffarah mengikut pendapat
yang asah. Inilah yang dinukilkan daripada al-Allamah Ibn Abidin dan juga
al-Allamah al-Syarambalali dalam kitabnya, Imdad al-Fattah.
3. Terhidu asap bagi mereka yang bekerja
di sebahagian kilang, tidaklah batal puasanya kerana termasuk di dalam umum
balwa (sukar untuk mengelakkannya), seperti pendapat Syeikh al-Syarbasi.
4. Mencium bau-bauan dan minyak atar
pada siang hari Ramadhan termasuk menggunakan bukhur atau kemenyan. Hukumnya
jika sampai kesan kepada halkumnya, maka batal puasanya dan wajib qadha’,
sebagaimana kaedah dalam Mazhab Maliki. Sedangkan sebahagian ulama menganggap
masalah ini sebagai Umum Balwa yang dimaafkan. Inilah pendapat yang sahih,
seperti dalam buku Su’alat al-So’imin.
2. Isu Hadiah Pahala Puasa
1. Menghadiahkan pahala puasa kepada
si mati adalah harus dan sampai insya-Allah, seperti fatwa Ibn Jabrin.
2. Puasa bagi orang yang berada di
dua kutub utara atau selatan, di mana panjangnya siang hari atau malam hari
sehingga berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Cara berbukanya adalah dengan
melihat kepada waktu di Makkah atau Madinah. Sebahagian yang lain berpendapat,
dengan melihat negeri yang berdekatan di mana waktu-waktunya adalah stabil.
Inilah pendapat Syeikh al-Syarbasi.
3. Qadha’ atau Fidyah Puasa
1. Sesiapa yang tertinggal puasa
Ramadhan disebabkan musafir atau sakit, dia wajib mengqadha’nya sebelum tiba
bulan Ramadhan yang berikutnya. Jika cuai dan tidak mengqadha’nya sehingga
masuk bulan Ramadhan yang lain, dia berdosa dan wajib mengqadha’ puasanya serta
membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan
kebiasaan penduduk negeri setempat, dan hendaklah menggandakan fidyah tersebut
mengikut bilangan tahun yang dilangkauinya. Secupak bersamaan seraup atau 1 1/3
kati Baghdad, iaitu kira-kira 600 gram.
2. Kalau orang yang wajib membayar
fidyah tersebut tidak mampu membayarnya kerana miskin, terhapus kewajipan
membayar fidyah, seperti terhapusnya kewajipan membayar zakat fitrah. Pendapat
ini yang disokong oleh Syeikh Ibn Hajar di dalam kitabnya, Tuhfah. Namun,
menurut Syeikh Ramli dan juga Khatib al-Syarbini, tidak terhapus kewajipan membayar
fidyah kerana miskin dan fidyah yang belum terbayar itu menjadi hutang.
3. Orang yang sakit berterusan hingga
masuk bulan Ramadhan yang lain, dia wajib mengqadha’ puasanya sahaja tanpa
membayar fidyah.
4. Orang yang meninggal dunia sebelum
mampu mengqadha’ puasanya, tidak berdosa dan puasanya tidak perlu diganti
disebabkan bukan kecuaiannya.
5. Sementara orang yang meninggal
dunia sebelum mengqadha’ puasanya, sedangkan dia telah mampu melakukannya,
walinya sunat berpuasa bagi pihaknya, menggantikan puasanya yang tertinggal.
Yang dimaksudkan dengan wali berpuasa untuk si mati bagi puasa yang
ditinggalkannya ialah kaum kerabat atau waris si mati sama ada yang berhak
menerima pusaka atau tidak. Ini adalah pendapat Imam al-Nawawi yang terpilih
dalam Tashih al-Tanbih.
6. Mengikut pendapat al-Syafie pada
qaul yang baru, wajib mengambil harta daripada tarikahnya (pusaka) dengan
setiap hari secupak daripada makanan asasi dan tidak sah puasa oleh walinya.
Ini juga pendapat kebanyakan ulama, ahli hadis, Abi Thaur dan al-Auza’ie.
7. Sah puasa bagi pihak si mati oleh
orang yang bukan daripada kalangan keluarganya apabila diizinkan oleh seorang
daripada ahli keluarga tersebut. Sebaliknya, jika tidak diizinkan oleh ahli
keluarga si mati atau tanpa wasiatnya, puasa tersebut tidak sah.
8. Jika tiada sesiapa yang
menggantikan puasanya, hendaklah disedekahkan makanan bagi pihaknya sehari
secupak yang wajib diambil daripada harta peninggalannya, sebagaimana
penyelesaian hutang.
9. Orang yang sangat tua dan tidak
berupaya berpuasa, wajib bersedekah setiap hari secupak makanan kebiasaan
penduduk negerinya sebanyak hari yang dia tidak berpuasa dan tidak wajib ke
atasnya dan ahli keluarganya selain daripada itu.
10. Begitu juga kepada orang sakit,
yang tiada harapan untuk sembuh, harus berbuka dan wajib bersedekah secupak
makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang dia tidak berpuasa,
sebagaimana orang tua yang tidak terdaya berpuasa tersebut.
11. Perempuan yang mengandung dan
yang menyusui bayi, berbuka sama ada kerana bimbangkan kesihatan dirinya atau
kesihatan bayinya. Jika berbuka kerana bimbang akan kesihatan dirinya, maka dia
wajib qadha’ sahaja sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya.
12. Jika berbuka kerana bimbang akan
kesihatan kandungan, iaitu perempuan yang mengandung bimbang akan keguguran
ataupun ibu yang menyusukan bayinya, bimbang akan susunya berkurangan dan
menjejaskan kesihatan bayi tersebut, wajib mengqadha’ puasanya dan membayar
fidyah secupak makanan kebiasaan penduduk negerinya bagi hari-hari yang mereka
tidak berpuasa.
13. Begitu jugalah sesiapa yang
berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam bahaya, maka dia wajib qadha’
puasanya dan memberi sedekah tersebut.
14. Qadha’ Ramadhan tidaklah wajib
disegerakan, tetapi waktunya sebelum menjelangnya Ramadhan yang berikut. Ini
kerana Sayidatina Aisyah R.Anha mengqadha’ puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban.
15. Orang yang mati dan masih
menanggung qadha’ puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya mengikut pendapat
yang terpilih di sisi Syafieyyah. Inilah pendapat Imam al-Nawawi berdasarkan
kepada ahli Tahqiq. Walaupun begitu, boleh diberi makan kepada orang miskin
bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi negeri
tersebut.
16. Adakah harus bersedekah untuk
menggantikan puasanya yang ditinggalkan kerana sakit? Dr. Yusuf al-Qardhawi
berkata: Pada pendapat kami, sakit itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Sakit sementara yang ada
harapan untuk sembuh. Hukumnya tidak harus membayar fidyah atau bersedekah. Ia
wajib diqadha’ sahaja.
Kedua: Sakit yang lama dan tidak ada
harapan untuk sembuh. Hukumnya seperti hukum ke atas lelaki dan wanita tua.
Penyakit ini hendaklah disahkan oleh doktor yang pakar atau melalui
pemeriksaan. Ia dikenakan fidyah. Mengikut sesetengah imam, seperti Abu
Hanifah, harus kita membayar fidyah dengan duit kepada fakir miskin dan
orang-orang yang memerlukannya.
17. Orang yang haidh dan nifas, haram
dan tidak boleh berpuasa dan hendaklah baginya berbuka dan qadha’ pada hari
yang mereka uzur itu.
18. Qadha’ puasa Ramadhan adalah
wajib kecuali bagi yang tua dan sakit, yang tiada harapan sembuh, maka
hendaklah diberi makan bagi setiap hari yang ditinggalkannya secupak makanan
kepada orang miskin.
19. Petani tidak harus berbuka di
siang hari dengan sebab pekerjaannya kecuali adanya syarat-syarat yang ketat,
seperti kata Syeikh Ba Alawi.
20. Musafir yang mengharuskan untuk
berbuka puasa ialah jarak yang melebihi 89 kilometer dan musafir tersebut
sebelum terbitnya fajar, tetapi Mazhab Hanbali mengharuskan berbuka bagi yang
musafir walaupun di siang hari. Mengikut Mazhab Syafie, menambah syarat yang
lain orang yang musafir tersebut bukan sentiasa dalam perjalanan, seperti
pemandu kecuali membawa kepada masyaqqah.
21. Mati membatalkan puasa dan
hendaklah diberi makan atau diberi ganti oleh warisnya bagi puasa nazar dan
kifarah sahaja.
22. Tafsiran hadis Nabi berkenaan
dengan ikatan syaitan pada bulan Ramadhan ialah melemahkan kecergasannya
berbanding dengan bulan yang lain. Syeikh Atiyah Saqr berkata: Walaupun begitu,
di sana ada faktor lain yang mendorong ke arah dosa. Antaranya nafsu syahwat,
begitu juga dengan perangai dan akhlak buruk yang sudah menjadi sebati pada
diri seseorang.
4. Perselisihan Matla’ dan
Negeri dalam Puasa
1. Seseorang yang berpuasa awal di
sesebuah negeri, kemudian berada di negeri yang lain yang berpuasa akhir, menyebabkan
rayanya juga lewat sehari, menjadikannya berpuasa 31 hari. Afdhal baginya,
berpuasa dan sebahagian ulama menyatakan, boleh berbuka kerana takwim Islam
hanya 29 hari atau 30 hari sahaja bagi sebulan.
2. Jika sekiranya seorang berpuasa
lewat sehari daripada negeri yang dia musafir, seperti Malaysia dan menuju ke
Makkah dan kemudian beraya di sana, yang mana rayanya cepat sehari menjadikan
hanya beliau berpuasa 28 hari. Syeikh Atiyah Saqr berpendapat, boleh berbuka
dan raya pada hari tersebut, tetapi hendaklah menggantikan hari yang lain bagi
mencukupkan 29 hari.
5. Isu Perubatan dan Puasa
1. Mengambil pil penahan haid kerana
ingin berpuasa penuh pada bulan Ramadhan adalah dibolehkan, tetapi afdhal
jangan mengambilnya dan kekal mengikut takdir Allah kepada wanita. Inilah
pendapat Syeikh Uthaimin. Pendapat ini juga sama seperti Dr. Yusuf al-Qaradhawi
yang berkata: Pada pendapat saya, sebaik-baiknya wanita itu mengikut sifat
kejadian semula jadinya. Haid adalah sesuatu yang tabi’ie dan tidak dapat
dielakkan. Ia datang daipada Allah. Sekiranya wanita itu hendak memakan ubat
untuk melewatkan haidh agar ia tidak datang di dalam bulan Ramadhan, hukumnya
tidak mengapa, dengan syarat ubat itu tidak memudharatkan dirinya. Mereka boleh
meminta nasihat orang-orang alim dan pakar, atau nasihat doktor mengenai ubat
itu. Menelan pil tersebut akan membolehkannya berpuasa genap sebulan pada bulan
puasa dan akan diterima Allah, insya-Allah.
2. Orang yang sakit buah pinggang,
yang dinasihatkan berbuka oleh pakar boleh berbuka dan tidak perlu qadha’,
sebaliknya diberi makan kepada orang miskin setiap hari yang ditinggalkan
dengan secupak (lebih kurang 650g), tetapi jika sekiranya penyakitnya hilang
atau sembuh, maka hendaklah diqadha’kannya, seperti fatwa Ibn Jabrin.
3. Dalam Mazhab Maliki, suntikan ke
dalam saluran kencing lelaki, hukumnya tidaklah merosakkan puasa.
4. Ambil darah yang sedikit tidaklah
membatalkan puasa, seperti untuk menderma kepada yang memerlukan. Inilah
pendapat Syeikh Uthaimin.
5. Hukum menukar atau mencuci darah
bagi pesakit buah pinggang dalam keadaan puasa adalah batal puasanya, seperti
fatwa Syeikh Bin Baz.
6. Hukum menggunakan inhaler di siang
hari pada pesakit asma adalah dibolehkan kerana gas tersebut tidak sampai ke
dalam perut, tetapi sekadar untuk pernafasan. Inilah pendapat Dr. Yusuf
al-Qaradawi, Syeikh Bin Baz, dalam perbincangan feqah berkenaan hal-hal
perubatan dan rawatan kali ke-9. Begitu juga dengan pendapat Syeikh Uthaimin
dan juga Syeikh Ibn Jabrin.
7. Meletakkan minyak atau sesuatu
pada gigi yang sakit, sekalipun yang berpuasa merasainya pada halkumnya,
tidaklah batal puasanya. Inilah fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Hasanain
Makhluf.
8. Mencabut gigi di siang hari bagi
yang berpuasa, tidaklah batal puasanya, seperti pendapat Syeikh Uthaimin. Ini
juga pendapat Mazhab Hanafi dan lainnya.
9. Berbekam pada siang hari pada
bulan Ramadhan menjadi khilaf. Yang masyhur di kalangan ramai sahabat tabiin
bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi
Waqas melakukan bekam. Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam, Ummu Alqamah dan
lain-lain. Kecuali Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap hukumnya makruh jika
melemahkannya daripada menunaikan puasa. Mazhab Hanbali dan sebahagian Ahli
Hadis menganggap berbekam hukumnya batal puasa. Manakala Ata’ berpendapat,
wajib kifarah. Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam
jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat
al-So’imin, (hal. 65-66).
10. Dr. Yusuf al-Qardhawi menyebut
bahawa Ibn Hazam berkata: “Menggunakan suntikan atau ubat yang disedutkan ke
dalam hidung, menitiskan ubat ke dalam telinga, saluran kencing, ataupun
memasukkan air ke dalam hidung dan sampai ke kerongkong tidak mencacatkan
puasa. Begitu juga dengan berkumur-kumur hingga tertelan tanpa sengaja. Juga
tidak cacat puasa dengan sebab bercelak. Tepung, debu, inai, minyak wangi,
peria, lalat dan ubat daripada tumbuh-tumbuhan atau seumpamanya juga tidak
membatalkan puasa.”
11.Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut:
“Puasa tidak terjejas dan batal dengan resapan minyak ke bahagian dalam tubuh
melalui lubang roma pada tubuh.”
12. Ibn Hazam berhujah dengan
katanya: “Sesungguhnya apa yang ditegah Allah ialah makan, minum, bersetubuh,
muntah dengan sengaja dan melakukan maksiat. Kami tidak tahu makan dan minum
macam mana yang melalui dubur, saluran kencing, telinga, mata, hidung atau
tempat luka di perut atau di kepala. Kami tidak ditegah daripada perkara yang
sampai ke perut, selain makan dan minum, selagi mana tidak haram ke atas kami
untuk menyampaikannya.”
13. Menderma darah tidaklah batal
puasa. Adapun yang menerima darah dianggap sama seperti inject dan yang
masyhur, tidaklah batal kerana perubatan tersebut, seperti kata Syeikh Atiyah
Saqr.
14. Suntikan yang mengandungi bahan
makanan, seperti glukos pada siang hari di bulan Ramadhan membatalkan puasa
kerana dianggap makanan pada uruf yang boleh mengenyangkannya, seperti makanan
biasa. Inilah fatwa Syeikh Atiyah Saqr.
15. Darah yang keluar daripada wanita
yang hamil apabila digugurkan janin, ia terbahagi kepada dua keadaan. Jika
janin sudah nyata seperti manusia, maka darah tersebut dianggap sebagai nifas.
Justeru, wanita tersebut tidak boleh berpuasa dan solat. Sebaliknya, jika hanya
seperti segumpal darah atau daging yang belum nyata sifat manusia, maka
hukumnya bukan darah nifas dan hendaklah dia berpuasa. Lihat Fatawa Ramadhan
(1/358).
16. Orang yang gila atau sakit jiwa
yang membawa kepada pengsan dan seumpamanya, memerlukan penggunaan pil kecil
yang diletakkan di bawah lidahnya hingga menjadi tenang. Dalam hal ini,
sebahagian ulama menganggap hukumnya tidak batal puasa kerana ia bukan bersifat
makanan dan mengenyangkan, tetapi ubat yang tidak sekali-kali menghilangkan
lapar dan dahaga. Hal ini diharuskan. Lihat Su’alat al-So’imin (hal. 73).
6. Persetubuhan dan
Mukadimah Jima’
1. Bersetubuh membatalkan puasa,
tetapi sekiranya terlupa, maka tidaklah batal, seperti diqiaskan kepada makan
dan minum.
2. Air mani yang keluar dengan
sengaja, seperti perbuatan bercumbu adalah batal puasanya. Begitu juga dengan
cara istimna’.
3. Bersetubuh di siang hari pada
bulan Ramadhan, sedangkan dia di dalam keadaan bermusafir, tidaklah dikenakan
kafarah ke atasnya. Inilah pendapat Syeikh Ibn Jabrin.
4. Air mani yang keluar dengan tidak
disengajakan, tidaklah batal puasanya. Begitu juga jika seseorang bermimpi
sehingga keluar mani pada siang hari, hukumnya tidak membatalkan puasa menurut
ijma’ fuqaha.
5. Makruh secara tahrim bercumbu
dalam bulan Ramadhan dengan isterinya pada siang hari bagi orang yang
syahwatnya bergelora sama ada lelaki atau perempuan. Inilah pendapat Mazhab
Hanafi dan Syafie. Walaupun begitu, Ibn Munzir berkata: “Telah memberi rukhsah
(pada bercumbu) oleh Umar, Ibn Abbas, Abu Hurairah,’ Aisyah, Ata’, Sya’bi,
al-Hasan, Ahmad dan Ishak.”
6. Sengaja membatalkan puasa Ramadhan
dengan melakukan persetubuhan, dengan syarat dia menyedari bahawa dirinya
berpuasa, mengetahui perbuatannya itu adalah haram dan bukan dalam bermusafir
yang diberikan keringanan, adalah wajib kaffarah.
7. Kaffarah hanya wajib ke atas suami
yang melakukan persetubuhan. Kaffarah tidak wajib ke atas isteri atau perempuan
yang disetubuhi, sekalipun mereka berpuasa.
8. Siapa yang bersetubuh di siang
hari dengan sengaja pada bulan Ramadhan dan belum membayar kaffarah, kemudian
bersetubuh pada hari yang lain, hukumnya dibayar satu kaffarah sahaja mengikut
riwayat Hanafi dan Ahmad. Dalam Mazhab Syafie dan Malik serta satu riwayat
daripada Ahmad, hendaklah dibayar dengan dua kaffarah kerana setiap hari adalah
ibadat yang berasingan.
9. Bersetubuh pada hari yang sama di
bulan Ramadhan dua kali dan belum menyelesaikan yang pertama kaffarahnya, maka
ke atasnya satu kaffarah sahaja dengan ijma’.
10. Apabila seorang gila bersetubuh
dengan isterinya pada siang hari, maka terbatallah puasa isterinya dan wajib ke
atas isterinya kaffarah, tidak ke atas suaminya kerana termasuk dalam uzur
syar’ie, dengan sebab gila. Inilah pendapat al-Imrani dalam al-Bayan.
11. Apabila seseorang bersetubuh
dengan isterinya pada siang hari ketika qadha’ puasa Ramadhan, tidaklah wajib
ke atasnya kaffarah. Inilah pendapat al-Imrani dalam al-Bayan. Sedangkan kata
Qatadah ialah wajib ke atasnya kaffarah.
12. Melakukan liwat adalah
membatalkan puasa. Begitu juga jika seseorang itu mendatangi binatang sama ada
pada qubul mahupun duburnya, sebagaimana yang disebut di dalam Ahkam al-Siyam.
13. Bersetubuh dengan isteri ketika
musafir di siang hari pada bulan Ramadhan, seperti yang disebut dalam Fatawa
Ramadhan (1/315). Hukumnya harus dia tidak puasa pada hari tersebut dan boleh
bersetubuh, makan dan minum kerana orang musafir tidak wajib berpuasa. Ini
berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Maka sesiapa
di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian
wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.
(Surah al-Baqarah: 184)
7. Masalah Muntah
Muntah yang disengajakan membatalkan
puasa. Sebaliknya, seseorang yang termuntah tidaklah batal puasa berdasarkan
hadis riwayat Abu Hurairah daripada Abu Daud dan al-Tirmizi.
8. Memasukkan Sesuatu ke dalam Rongga
1. Menggunakan titisan seperti eye-mo
di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu
juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh
al-Syarbasi.
2. Suntikan melalui dubur adalah
membatalkan puasa kerana ia merupakan ruang yang terbuka.
3. Suntikan melalui urat pula
tidaklah membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah
al-Azhar pada tahun 1948, apa-apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan
rongga yang terbuka, tidaklah batal puasa.
4. Apabila seseorang mencurahkan air
ke dalam telinganya dan sampai ke otaknya, nescaya batallah puasanya,
sebagaimana yang dinyatakan di dalam Ahkam al-Siyam.
5. Ijmak ulama masa kini bahawa
suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal
puasa, seperti dinukilkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya, Fiqh
al-Siyam, (hal. 100). Hal ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Azhar Mahmud
Shaltut, Syeikh Muhammad Salamah Jabr dan Syeikh Ali Tantawi. Ini berbetulan
dengan kalam Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut: “Jika dimasukkan ubat ke
dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat
tersebut kepada otak, nescaya tidak batal puasa tanpa khilaf kerana ia tidak
termasuk dalam anggota rongga terbuka.”
6. Berkenaan suntikan sebagai ganti
makanan yang memberi tenaga, hukumnya tidak disepakati oleh ulama masa kini.
Ada yang berpendapat batal puasanya kerana dianggap sebagai makan dan minum.
Antara yang mentarjihkan pendapat ini ialah Syeikh Muhammad al-Syaibani dalam
bukunya, Tabyin al-Masalik (2/158).
7. Puasa tidak batal jika agas, lalat
atau debu jalan masuk ke dalam rongga kerana umum balwa (sukar untuk
mengelakkannya).
8. Air kumur-kumur atau yang
dimasukkan ke dalam hidung ketika berwuduk sampai ke dalam rongga tidaklah
membatalkan puasa jika sekiranya perbuatan tersebut dilakukan secara tidak
berlebih-lebihan.
9. Sisa-sisa makanan di celah-celah
gigi yang tertelan bersama air liur tidak membatalkan puasa sekiranya susah
untuk membezakan dan meludahkannya kerana ada halangan dan tanpa kecuaiannya.
Hal ini jika sekiranya sedikit. Sebaliknya, jika kuantiti sisa-sisa makanan
banyak, maka ia membatalkan puasa. Inilah pendapat mazhab Maliki, Syafie,
Hanbali, Abu Yusuf dan Zufar.
10. Lelaki atau perempuan yang
terkena penyakit buasir terpaksa menolaknya dengan menggunakan jari ketika
qadha’ hajat adalah batal puasanya mengikut nas Hanafi. Syeikh Hasanain Makhluf
menambah, ia termasuk dalam golongan yang uzur, yang mengharuskan berbuka dan
hendaklah qadha’ selepas sembuh penyakit. Walaupun begitu, al-Baghawi dan
al-Hawarizmi berpendapat, tidak batal puasa dan inilah yang dipegang oleh
al-Azraie.
11. Merasa makanan adalah dibolehkan
yang dikecap di hujung lidahnya dan tidak membatalkan puasanya mengikut
pendapat yang terpilih. Ibn Abbas berkata: “Tidak mengapa merasa makanan
seperti cuka dan sesuatu yang mahu dibelinya.”
12. Menelan balgham atau sejenis
kahak bagi yang tua dan menyukarkan untuk meludahnya adalah sah puasanya,
seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini juga pendapat Mazhab al-Syafie dan Imam
Ahmad pada satu riwayat.
13. Menelan air liur yang biasa pada
adatnya tidaklah batal puasa kerana sukar mengawasinya, dengan syarat tidak
bercampur dengan darah atau sisa-sisa makanan dalam kuantiti yang banyak.
Begitu juga tidak dihimpun air liur, kemudian menelannya. Jika seseorang itu
menelan air liur orang lain, seperti mengucup isterinya atau menghisap
lidahnya, maka hukumnya ialah batal puasa.
9. Niat
1. Niat puasa Ramadhan tidak sah
kecuali pada waktu malam (sebelum masuk Subuh) sahaja. Dalam mazhab Syafie,
niat puasa hendaklah pada setiap malam, tetapi boleh diihtiyat (untuk
berhati-hati) dengan bertaqlid dengan mazhab Maliki, yang memadai berniat di
awal Ramadhan sahaja (berniat sebulan).
2. Puasa sunat boleh diniatkan pada
siang hari sebelum matahari tergelincir, berdasarkan hadis Aisyah R.Anha,
seperti riwayat al-Daraqutni.
3. Seseorang yang sedang berpuasa,
berniat untuk berbuka, maka batallah puasanya sekalipun beliau tidak berbuka.
Ini kerana niat merupakan satu rukun dari rukun puasa. Inilah pendapat Sayid
Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah. Inilah pendapat yang rajih di sisi Mazhab al-Syafie
dan Hanbali.
4. Tidak memadai niat puasa Ramadhan
dengan hanya berniat “aku puasa esok hari” sahaja, tetapi mestilah menyebut
bulan Ramadhan. Ini kerana ia merupakan ibadat yang disandarkan kepada waktu.
Justeru, wajib ta’yinkannya. Tetapi pendapat yang muktamad ialah tidak wajib
disertakan niat perkataan fardhu kerana puasa Ramadhan itu sendiri daripada
mukallaf yang semestinya fardhu. Inilah pendapat Syeikh Ba'Alawi dalam Bughyah
al-Mustarsyidin.
5. Sah niat puasa dalam hati walaupun
ketika dalam solat, sebagaimana di dalam kitab al-Majmu’. Ibn Hajar al-Haitami
berkata: “Dengannya, diketahui bahawa sah niat i’tikaf dalam solat.”
10. Berkenaan Terlupa atau
Dipaksa
1. Makan dan minum dengan sebab
terlupa pada siang hari di bulan Ramadhan tidak batal puasa kerana Allah
memberinya makan dan minum seperti riwayat Abu Hurairah daripada al-Bukhari dan
Muslim.
2. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam
al-Fiqh al-Islami menukilkan pendapat Abu Bakar al-Ajiri: Orang yang bekerja
berat ialah orang yang mempunyai pekerjaan yang berat. Jika dia bimbang berlaku
kebinasaan dengan sebab puasa, maka dia boleh berbuka dan melakukan qadha’ jika
seandainya pekerjaan tersebut mendatangkan kemudharatan sekiranya ditinggalkan.
Jika meninggalkan pekerjaan itu tidak membawa sebarang kemudaratan, dia berdosa
kerana berbuka. Jumhur fuqaha menetapkan bahawa wajib ke atas pekerja yang melakukan
kerja berat bersahur dan juga berniat puasa. Jika berlaku sebarang keuzuran
atau lapar yang amat sangat dan dibimbangi berlaku kemudharatan, harus baginya
berbuka puasa dan melakukan qadha’. Jika sekiranya kemudharatan pasti berlaku
dengan sebab puasa, maka wajib ke atasnya berbuka, seiring dengan firman Allah
SWT:
Maksudnya: Dan
janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mengasihani kamu.
(Surah al-Nisa’: 29)
3. Puasa seseorang yang makan atau
minum kerana dipaksa tidak batal disebabkan kemahuannya terhalang ketika itu.
4. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut:
“Ulama mazhab Hanbali berpendapat bahawa seorang yang diperlukan oleh orang
lain bagi menyelamatkan seseorang anak Adam yang tidak berdosa daripada
kebinasaan, seperti lemas dan sebagainya, maka ia wajib membatalkan puasanya
dan tidak perlu membayar fidyah. Dalam keadaan dia berupaya tanpa berbuka
puasa, haram baginya berbuat demikian. Jika sekiranya air termasuk ke dalam
halkumnya, ia tidak membatalkan.”
5. Jika sekiranya seseorang menjangka
fajar belum terbit lagi dengan makan atau minum, sedangkan ternyata sangkaannya
itu salah, maka batallah puasanya. Walaupun begitu, hendaklah ia meneruskan
imsa’ sepanjang hari tersebut kerana menghormati Ramadhan.
6. Ibn Qudamah menyebut di dalam
kitabnya al-Mughni: “Bahawa sesiapa yang makan disangka fajar masih lagi belum
terbit, tetapi sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan sangkaan matahari
sudah terbenam, sedangkan belum lagi, maka puasanya batal dan hendaklah
diqadha’. Inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu.”
7. Tidak batal puasa dengan masuk
sesuatu ke dalam rongga dengan sebab lupa atau dipaksa, atau jahil, yang diuzur
dengannya oleh syarak.
8. Jika seseorang yang sedang
berpuasa menguap dalam keadaan mendongak kepalanya ke langit, tiba-tiba masuk
air hujan ke halkumnya, atau air yang jatuh daripada sutuh rumah yang masuk ke
dalam mulutnya, maka hukumnya membatalkan puasa kerana dia mampu untuk
mengelaknya.
9. Seorang yang sedang berpuasa
melalui majlis orang sedang musafir sedang makan dan makan bersamanya,
sedangkan dia lupa. Mengikut Mazhab Maliki, hukumnya batal puasa dan wajib
qadha’. Ibn Rusyd berkata: “Mewajibkan qadha’ dengan qiyas tersebut adalah
lemah, tetapi qadha’ wajib kerana perkara yang baru dengan sebab makan.”
Sedangkan jumhur ulama menganggap puasa ini sah tanpa perlu qadha’ berdasarkan
nas.
10. Jika dipaksa yang sedang berpuasa
untuk berbuka atau dimasukkan makanan ke dalam halkum tanpa pilihannya atau
dipaksa isteri untuk bersetubuh, maka dalam hal ini, ada dua pendapat. Mazhab
Hanafi, Maliki dan Hanbali yang masyhur, hukumnya batal puasa, sedangkan di
sisi Mazhab al-Syafie dan Ahmad ialah tidak membatalkan puasa bagi mereka yang
kena paksa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih