PENGENALAN
Secara umumnya masalah sosial merupakan perlakuan negatif
atau buruk anggota masyarakat yang tidak membawa kebaikan dan keuntungan kepada
kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang dijalankan dalam sesuatu masyarakat
ataupun negara tersebut. Masalah sosial boleh dibahagikan kepada beberapa
kategori seperti rempit, salah guna dadah, vandalisme, anak derhaka, buli,
buang anak dan lain-lain lagi. Masalah sosial kebanyakannya melibatkan golongan
remaja yang merupakan pemangkin masa depan negara. Masalah sosial yang ingin saya
kupas dalam kerja kursus ini ialah anak derhaka atau istilah lain dikenali
sebagai si tanggang moden.
Dewasa ini, berita berkaitan anak derhaka acapkali kedengaran
di dada-dada akbar dan juga di kaca televisyen yang berkaitan salah laku anak
terhadap orang tua mereka. Anak derhaka ini diibaratkan seperti “kacang lupakan
kulit”, yang mana apabila telah mencapai kejayaan mereka terus melupakan jasa
ibu bapa mereka. Kebanyakan ibu bapa sanggup berkorban apa sahaja demi
memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan dan penjagaan yang terbaik.
Namun, nasib yang sama belum tentu diterima ibu bapa. Apabila
usia mereka mula meniti senja, mereka dilupakan begitu sahaja. Sikap segelintir
anak muda zaman sekarang tidak ubah umpama Si Tanggang dalam dongeng Melayu
yang mana telah melupakan ibu bapanya yang sudah tua setelah dia menjadi kaya
dan berkahwin dengan puteri raja. Si tanggang juga bukan hanya melupakan ibu
bapanya malah telah mencerca dan memaki hamun mereka tanpa ada sedikit pun perasaan
belas ihsan.
Derhaka terhadap ibu bapa termasuk dalam empat dosa besar
iaitu sebaris dengan dosa menyekutukan Allah, membunuh manusia dan menjadi
saksi palsu. Anak yang tidak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa
selayaknya menerima balasan daripada Allah.
Diriwayatkan oleh Tabrani: “Dua (kejahatan) yang akan dibalas Allah di dunia
ini adalah berzina dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa.”
Di dalam al-Quran, Allah SWT dengan tegas menjelaskan peranan
dan tanggungjawab anak terhadap kedua ibu bapa, di mana Allah SWT menyuruh agar
anak-anak sentiasa taat dan patuh kepada ibu bapa dengan sentiasa berbuat baik
kepada keduanya dan apabila berbicara dengan mereka hendaklah dengan menggunakan
bahasa yang lembut, seperti firman-Nya yang bermaksud, “…dan Tuhanmu telah
perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan
hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya
atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu
maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar)
sekalipun perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun ).” (Surah
al- Isra’ ayat 23)
[850] mengucapkan kata ah kepada orang tua tidak
dlbolehkan oleh agama apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka
dengan lebih kasar daripada itu.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud, “…dan kami
wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapa, ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah
payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya
ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai peringkat dewasa
yang sempurna kekuatannya.” (Surah al-Ahqaf, ayat 15)
Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak
tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?”
Maka mereka (para sahabat) pun menjawab : “Sudah tentu wahai Rasulullah.”
Baginda menjelaskan : “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi
menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung)
dan sumpah yang palsu.” (Sahih Imam al-Bukhari)
Menghormati ibu bapa, bererti kita sentiasa menjaga hati dan
perasaan mereka supaya tidak tersinggung ataupun disakiti. Dengan kata lain,
segala suruhan dan larangan ibu bapa mestilah dipatuhi selagi suruhan dan
larangan mereka tidak menyalahi syariat yang telah ditetapkan. Bagi sesiapa
yang tidak menghormati ibu bapanya ataupun mengkhianati (mengingkari) tunjuk
yang baik, maka dia (anak tersebut) dianggap telah menderhaka terhadap ibu
bapanya. Bagi mereka yang derhaka kepada ibu bapanya pasti menghadapi pelbagai
kesulitan hidup sewaktu di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, menderhaka
kedua ibu bapa bererti telah menderhaka kepada Allah SWT. Dari Abdullah ban
Amru r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,“Keredhaan Allah
daripada keredhaan ibu bapa dan kemurkaan Allah daripada kemurkaan ibu bapa.” (Hadis
riwayat at-Tirmizi)
Terdapat banyak contoh menunjukkan pengajaran dan azab derita
yang ditanggung jika menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa di dunia ini. Ia
mungkin datang dalam keadaan seseorang itu ditimpa penyakit, gagal mendapatkan
pekerjaan atau nafkah serta keadaan hidup mereka yang tidak tenang. Contoh
yang paling dekat pada diri kita adalah mengenai sirah dizaman rasulullah yang
mengisahkan seorang hamba Allah yang menderhaka kepada ibunya.
Contoh daripada Sirah Rasulullah
kisah Wail bin Khattab iaitu anak yang derhaka kepada ibunya.
Disebabkan Wail bin Khattab terlalu cintakan isterinya, dia
sering mencaci dan mempercayai segala apa yang dikatakan isterinya terhadap
ibunya. Ketika Wail menghadapi kematian, dia mengalami penderitaan yang
tidak terhingga. Dia menggelupur sehingga keluar peluh membasahi seluruh tubuh
badannya. Selama puluhan hari dia berada dalam keadaan demikian.
Matanya merah menyala, mulutnya terbuka luas tetapi kerongkongnya tersumbat
sehingga tidak terdengar jeritan, kaki dan tangannya pula kaku. Sahabat terharu
melihat penderitaan dihadapi Wail. Mereka turut mengajar Wail mengucap kalimah
syahadah.
Akhirnya Ali bin Abi Talib menemui Rasulullah SAW bagi menceritakan keadaan
Wail. Rasulullah SAW meminta ibu Wail dijemput untuk menemui beliau. Rasulullah
SAW mahu mengetahui keadaan dan perlakuan Wail terhadap ibunya sebelum
sakit.
Ibu Wail menceritakan keadaan sebenar kelakuan anaknya terhadapnya kepada
Rasulullah SAW. Dia sering dicaci oleh anaknya kerana termakan hasutan
isterinya. Dia terlalu mempercayai kata-kata isterinya sehingga menyebabkan ibunya
terasa hati.
Rasulullah SAW memujuk ibu Wail supaya segera mengampuni dosa anaknya itu.
Tetapi ibunya berkeras tidak mahu memaafkannya. Kemudian, Baginda memerintahkan
sahabat mengumpul kayu api kerana mahu membakar Wail hidup-hidup.
Rasulullah SAW menyatakan, jika ibu Wail tidak mahu memaafkan dosa anaknya,
Wail pasti derita menghadapi maut dalam jangka masa yang tidak pasti. Mendengar
kata Rasulullah SAW itu, ibu Wail berkata: “Wahai Rasulullah, jangan dibakar
dia. Wail anakku, aku ampuni dia. Kesalahannya aku maafkan.”
Selepas itu keadaan Wail bertukar dengan wajahnya mula berubah selepas mendapat
keampunan ibunya. Dia akhirnya dapat mengucap kalimah syahadah dan kemudian
meninggal dunia. Begitulah azab dan penderitaan yang ditanggung oleh seorang
anak yang sanggup mengetepikan ibunya.
Allah SWT berfirman:
“Dan Kami wajibkan
manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya
dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal
mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam
masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada
kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk
menerima balasan).”
(Surah Luqman, ayat 14)
Walaupun ada pendapat yang mengatakan kisah ini daif mahupun
palsu, akan tetapi pengajaran kisah ini amat baik untuk anak-anak muda sekarang
muhasabah diri mereka dalam kehidupan bersama ibu bapa mereka.
FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA DERHAKA
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada
berleluasanya budaya derhaka dan gejala kurang sihat dalam kalangan anak muda
dewasa ini. Antara faktornya ialah kurang didikan agama, kesilapan ibu bapa itu
sendiri, pengaruh media massa, pengaruh rakan, kelemahan sistem pendidikan dan
lain-lain
i. Kurang didikan agama antara punca gejala zuriat jadi 'si
tanggang'
- Sudah menjadi lumrah kepada masyarakat pada zaman ini yang
lebih mementingkan ilmu duniawi berbanding ilmu keagamaan atau kerohanian. Ilmu
duniawi dianggap ilmu yang menjamin masa depan berbanding ilmu agama. Akibatnya
unsur kerohanian tidak dapat disemai dalam diri anak-anak hingga mereka tidak
tahu yang mereka perlu taat kepada ibu bapa.
- Malah, mungkin ada kalangan anak hari ini yang tidak faham
apa itu erti derhaka. Malah ada juga anak-anak yang dihantar ke kelas agama
oleh ibu bapa yang kemudianya melencong ke tempat lain. Ada juga anak muda
zaman sekarang yang berpendapat bahawa ilmukeagamaan adalah ilmu yang tidak
penting dan dianggap sebagai ‘kolot’.
ii. Kesilapan ibu bapa itu sendiri
- Anak yang dilahirkan diibaratkan seperti kain putih dan ibu
bapalah yang mencorakkan hala tuju dan masa depan anak berkenaan, justeru dalam
hal ini ibu bapa tidak boleh menuding jari menyalahkan pihak lain atas
kesilapan diri sendiri. Ibu bapa zaman sekarang yang kebanyakan bekerja terlalu
sibuk mencari nafkah dan mengumpul harta dunia hingga mengabaikan anak-anak
yang dahagakan belaian kasih sayang mereka.
- Mereka hanya melimpahkan anak mereka dengan harta kekayaan
hingga tidak sedar bahawa anak mereka hanya memerlukan tumpuan dan perhatian
ibu bapa. Hal ini akhirnya akan memerangkap keluarga mereka sendiri. Anak yang
sebahagian besar masanya dihabiskan dengan pembantu rumah atau di tadika
dilihat tidak dapat merasakan nikmat kasih dan sayang daripada ibu bapa
sendiri. Akibatnya anak-anak ini membesar menjadi anak yang mudah memberontak,
melawan cakap dan memberi arahan kepada orang di sekeliling mereka.
iii. Pengaruh rakan sebaya
- Rakan yang mana sering menjadi tempat meluahkan segala
masalah dan juga berkongsi kegembiraan mempunyai pengaruh yang besar ke atas
anak zaman ini. Mereka kadang kala lebih mendengar kata, pendapat, pandangan
dan nasihat rakan berbanding ahli keluarga sendiri. Jika salah pilih kawan,
maka salahlah tingkah laku dan sikap anak berkenaan. Misalnya anak yang bergaul
dengan rakan yang tidak mempunyai didikan yang baik serta amalan budaya yang
kurang sihat pastinya akan turut mempengaruhi tingkah laku anak kita.
v. Pengaruh media masa
- Terutama media elektronik melalui program televisyen yang
terlalu mengagungkan rancangan Barat. Budaya masyarakat Barat yang tidak
mementingkan nilai murni seperti membolehkan berkurang ajar dengan ibu bapa
sendiri dilihat sangat mempengaruhi gelagat anak kita di rumah. Adegan yang
ditonton sering kali menjadi gaya ikutan mereka dalam kehidupan seharian.
Kebanyakan filem barat selalu memaparkan anak-anak yang memberontak dan
mengeluarkan perkataan yang kurang enak didengar.
v. Kelemahan sistem pendidikan
- Sistem pendidikan kita yang lebih mengutamakan pencapaian
cemerlang dalam peperiksaan dilihat semakin mudah meragut unsur kemanusiaan dan
pembangunan modal insan yang patut diterapkan dalam diri setiap pelajar
sekolah. Akhirnya mereka membesar seperti mesin ataupun robot yang tidak kenal
erti kasih sayang kepada ahli keluarga.
- Satu kajian yang dijalankan beberapa pensyarah Institut
Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati dengan bilangan warga
emas (60 tahun ke atas) bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun
2020, jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah. Pertambahan itu didorong
oleh sikap anak-anak muda zaman moden yang memiliki kecenderungan lebih tinggi
untuk menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah penjagaan warga emas.
Perkara berkaitan
Punca anak terabai
Salah satu punca berlakunya perkara ini kerana kurangnya didikan ilmu agama
daripada ibu bapa sendiri. Ibu bapa zaman moden kini terlalu banyak menyerahkan
tanggungjawab mendidik kepada guru di sekolah.
Apabila pulang ke rumah, mereka dibiarkan saja dan secara tidak langsung ilmu
yang dipelajari terabai begitu saja. Mereka terlalu mementingkan kerjaya
masing-masing hingga sanggup membiarkan anak mencari hala tuju kehidupan tanpa
sebarang panduan daripada ibu bapa.
Ibu bapa perlu bijak berfikir. Didikan kepada anak perlulah sesuai dengan
kehidupan sebagai seorang Muslim yang berpegang teguh kepada ajaran Islam.
Faktor makanan
Dalam proses tumbesaran anak-anak, jenis dan mutu makanan
sangat penting kerana ia menjadi darah daging. Rasulullah pernah bersabda yang
antara lain kisahnya, seo’rang budak bermain bola dan tertendang masuk ke dalam
masjid. Dia masuk ke masjid dan bertembung dengan nabi, dan nabi pun menyebut
anak subahat sebanyak tiga kali. Ayahnya runsing dan bertanya kenapa Rasulullah
berkata begitu. Bila diperiksa rupanya faktor makanan yang dimakan oleh ayahnya
mengganggu tumbesaran si anak. Ia membentuk darah daging dan air mani yang akhirnya
membentuk si anak.
Makanan yang baik , pertama halal dan kedua bermutu. Duit
halal atau haram turut mengkelaskan jenis makanan. Sebab itu, jika
berpendapatan tetap salurkan sedekah atau membayar zakat kerana ia membersih harta. Daripada harta itulah, kita
mendapatkan makanan yang akhirnya membentuk darah daging.
Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua
kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan
herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka
mengadu bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, ia sudah
tentu membawa padah.
teringat satu kes, anak mendapat keputusan SPM pangkat dua.
Si anak balik menangis dan minta maaf kepada orang tua. Si bapa marah-marah dan
herdik seperti melakukan kesalahan terlalu besar. Tidak puas marah, anak dihalau
keluar dan tidak bertegur sampai ke hari ini.
“Kasihan si anak yang telah berusaha tetapi gagal. Itu bukan
kehendaknya dan rezekinya setakat itu sahaja, tetapi sikap si ayah membunuh
jiwa dan terpahat di ingatannya sampai tua.”
HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan
kerana tidak dipedulikan anak-anak.
“Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetàpi dalam
konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi sunuh utamakan ibu dahulu. Tiga
kali ibu barulah sekali kepada bapa.
“Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar
sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya
ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. “Sebenannya golongan
nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira
kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.
Cara dan teknik menerap adab terhadap anak
Proses pendidikan yang tidak bermoral turut mempengaruhi.
Bagaimana mahu melahirkan anak-anak berakhlak jika di sekolah para guru tidak
bermoral? “Selalu ditekankan, jika baran dan marah sekalipun, tolong jangan keluarkan
perkataan-perkataan celupar seperti bodoh, bengap atau dungu kepada anak murid,
kerana kata-kata guru seperti emak, sebahagian daripada doa,” pesannya.
Sabda nabi saw, “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya
satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas
belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan
rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukul.”
Jika anak-anak bijak dan menang dalam sebarang pertandingan
sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kalau ibu bapa cium atau peluk anak mereka
sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan.
Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula renggangkan hubungan dan ini
menyebabkan anak derhaka.
anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium
tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak
menderhaka.
anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa
bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa
tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumah tangga.
Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang
penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok. “Mungkin ibu
bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba
cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium
dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya
sentiasa hidup.
Peranan dan tanggungjawab
Ibu bapa
Kepentingan peranan ibu bapa ketara kerana merekalah orang
yang paling rapat dengan anak mereka. Semua tindakan dan kelakuan ibu bapa akan
menjadi ikutan anak mereka kerana anak menjadikan ibu bapa contoh teladan
mereka pula. Kegagalan ibu bapa untuk memaparkan teladan yang baik boleh
mempengaruhi sikap anak mereka pula nanti. Pendek kata, kerapatan ibu bapa
dengan anaklah yang menjadikan peranan mendidik itu penting dilaksanakan dengan
baik.
Selain itu, ibu bapa menjadi tempat meluahkan masalah buat
anak-anak. Setiap masalah yang berlaku dalam kehidupan anak pasti akan dirujuk
kepada ibu bapa untuk mendapat panduan menyelesaikannya dan kegagalan untuk
berinteraksi dengan ibu bapa ketika inilah yang menyebabkan anak-anak terganggu
kelakuannya. Ibu bapa yang mahir ialah ibu bapa yang sedar keadaan ini lalu
memberikan pelbagai nasihat dan kata perangsang yang membantu anak mereka untuk
mengharungi zaman keremajaan mereka dengan baik. Justeru, ibu bapa penting
kerana merekalah tempat anak-anak mendapatkan panduan ketika dibelenggu
pelbagai masalah hidup.
Tambahan pula, ibu bapa boleh menjadi individu yang
memberikan kasih sayang kepada anak mereka terutama ketika anak mereka
melakukan kesilapan. Ibu bapa yang bijak mendidik akan memaafkan kesalahan anak
mereka walaupun diri mereka berasa kecewa kerana sedar anak mereka perlu diberi
peluang kali kedua. Tindakan memaafkan kesalahan anak dengan bijak dan penuh
kasih sayang ini akan membentuk anak menjadi insan yang lebih baik sikapnya.
Maka, ibu bapa penting kerana merekalah tempat kasih sayang bermula dalam hidup
remaja itu.
Anak-anak
Kisah berbakti kepada ibu bapa
Salah seorang dari suku Bani Salimah datang dan bertanya kepada Rasulullah SAW:
“Kedua orang tuaku telah mati, apakah ada cara untuk aku berbakti kepada
mereka? Jawab Rasulullah SAW: Ya, membaca istighfar untuk kedua mereka,
melaksanakan wasiat mereka, menghormati sahabat mereka, dan menghubungkan
keluarga mereka.”
Oleh itu marilah kita tingkatkan iman dan takwa serta mengasihi ibu bapa. Jika
mereka masih hidup ziarah dan tunjukkanlah kasih sayang kita yang tidak
berbelah bagi. Jika ibu bapa sudah meninggal dunia, banyakkan berdoa dan
memohon keampunan daripada Allah untuk mereka.
Kisah DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka
bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan onang tua-tua, bisa ular tidak
hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Uman juga pernah berjumpa budak
kecil. Dia menghampiri budak itu dan berkata, “Wahai budak, tolong doakan
untukku, agar Tuhan ampunkan dosaku.’ Sahabat-sahabat terkejut dan bertanya,
“Ya Umar, kamu khalifah,
Allah dan rasul telah jamin syurga untuk kamu, kenapa tidak
berdoa sendiri.”
Jawab Sayyidina Umar, budak-budak kecil tidak berdosa dan doa
mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau jumpa budak kecil,
baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun anak
anak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.
Impak masa depan terhadap institusi kekeluargaan
Antara kesan yang akan berlaku akibat terhadap
institusi kekeluargaan ialah:
Akibat wujudnya ketidakharmonian dalam kekeluargaan, pastinya
akan wujud penceraian. Penceraian pastinya akan berlaku kerana keharmonian dan
kebahagian rumahtangga tidak dapat dipertahankan lagi. Rumah tidak dianggap
sebagai tempat untuk mendatangkan kedamaian tetapi lebih kepada satu tempat
yang membosankan. Kiranya kebahagian tidak wujud lagi maka penceraian akan
terjadi dan pastinya ia tidak dapat dielakkan.
Masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Anak
– anak akan hilang tempat bergantung dan bermanja. Kehidupan anak-anak akan
menjadi tidak ceria. Permasalahan ini akan mendatangkan kesan yang lebih buruk
pada masa hadapan anak-anak ini. Generasi akan datang akan mudah terpengaruh
dengan budaya-budaya luar kerana kurangnya kebahagian dan kasih sayang yang
dikecapi dalam institusi kekeluargaan. Anak – anak akan mencari alternatif lain
untuk mengatasi masalah yang dihadapi bagi menempiaskan kasih sayang mereka
agar segala masalah mereka dapat dikongsi bersama-sama contohnya kepada
rakan-rakan, guru-guru, orang gaji, jiran-jiran dan sebagainya
KESIMPULAN
Kesimpulannya, masalah sosial berkaitan anak derhaka ini
perlulah diambil perhatian serius bagi mengelakkan perkara ini menjadi masalah
yang akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara. Masalah ini perlu
ditangani oleh semua pihak tidak kira siapakah anda.
Mari kita sama-sama muhasabah perkara yang paling asas dalam
kehidupan kita sehari-harian.
BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat.
Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya
anak derhaka dan melawan mereka? “Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak dan
bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau
jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka.“Sedekah ke masjid
atas nama ibu. Walaupun ibu sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu
redha dan Allah ampunkan dosa.
“Allah maha pengampun dan luaskan rahmatnya. Tetapi jangan
ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram. Lebih
teruk lagi, Allah tunjukkan dalam bentuk bala. “Cuba kita perhatikan kemalangan
yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata
kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana
hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik turun ke peringkat kedua, bagaimana
pula hubungan dengan ibu?
“Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar.
Tidak rugi jalin hubungan yang baik kerana hayat orang tua bukanlah terlalu
panjang untuk bersama kita.”
Melakukan kebaikan kepada ibu bapa merupakan suatu
perintah dari Allah SWT kepada setiap muslimin dan muslimat. Sebagai
seorang anak kita diingatkan agar melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Di
samping itu, kita hendaklah tahu menghargai budi dan jasa yang dicurahkan
mereka siang dan malam demi melihat anak-anak dalam keadaan baik dan berjaya
dalam hidup tanpa mengharapkan apa-apa balasan.