Tahukah anda, sedekah bukan hanya dalam bentuk wang? Malah, apa-apa sahaja pemberian kita kepada orang lain yang memerlukannya dikira sebagai sedekah. Kali ini kita akan berkongsi beberapa tip mudah bagi bersedekah.
1. Niat bersedekah kerana Allah
Apabila kita mahu bersedekah, terlebih dahulu niatkan sedekah itu kerana Allah. Mudah sahaja! Katakan kepada diri kita "Saya bersedekah kerana-Mu, ya Allah. Bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Jika kita berniat sedemikian, dengan izin Allah, Allah akan hadiahkan pahala dan rezeki kepada kita.
2. Sedekah dalam bentuk wang
Ada antara rakan-rakan kita yang berkata, "Saya mahu bersedekah, tetapi saya tidak ada banyak wang. Jangan bimbang, kita masih boleh bersedekah walaupun dengan hanya 10 sen. Mudah, bukan? Hal ini kerana Allah menilai keikhlasan kita bersedekah.
3. Sedekah dalam bentuk pertolongan
Kita juga boleh memberi sedekah tanpa wang. Bagaimanakah caranya? Hulurkan pertolongan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Sebagai contoh, kita menolong ibu dan ayah di rumah ataupun membantu orang lain, rakan-rakan di pejabat dan sebagainya.
4. Bersedekah dengan berkongsi ilmu
Sekiranya kita mengetahui sesuatu perkara yang bermanfaat, berkongsilah dengan rakan-rakan yang lain. Hal ini kerana berkongsi ilmu juga dikira sebagai sedekah. Dengan izin Allah, ilmu kita semakin bertambah dan Allah akan mempermudahkan urusan kita.
5. Menziarahi orang sakit dikira bersedekah
Apabila kita mendengar ada orang sakit, jika kita mampu ziarahilah mereka dan mendoakan supaya Allah menyembuhkan sakit mereka itu juga dikira sebagai sedekah.
6. Bersedekah kepada haiwan
Kita digalakkan berbuat baik dengan semua makhluk Allah, termasuk haiwan. Sedekah yang mudah boleh kita lakukan kepada haiwan adalah dengan memberi makan kepadanya. Niatkan kerana Allah, Allah akan memurahkan rezeki kita.
7. Bersedekah dengan senyuman
Barangkali ada yang bertanya, "Apakah sedekah yang paling mudah?" Jawapannya adalah memberi senyuman. Latih diri bermanis muka dengan memberi senyuman apabila bertemu sesiapa sahaja.
Akhir kata, diharapkan perkongsian kali ini dapat membuka minda kita bahawa mudahnya bersedekah. Lantaran, sedekah bukan hanya dalam bentuk wang. Jom kita bersedekah! 😍